PUTRAJAYA perlu berhenti menggunakan undang-undang yang merampas hak asasi manusia dan menghumban rakyat ke penjara tanpa perbicaraan yang adil, sebagaimana yang berlaku ke atas pendatang haram kini, kata pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat perkara ini sebagai panduan kepada hak asasi manusia yang sudah termaktub dalam undang-undang.
“Cara yang betul ialah mengikut proses dan kaedah penyiasatan yang betul sebelum seseorang itu dijatuhi hukuman.
“Itulah pendekatan yang betul untuk kerajaan bagi melindungi hak asasi manusia. Sejak 60 tahun lalu, kita masih belum melihatnya,“katanya pada sebuah forum yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.
Joseph berkata, kerajaan juga perlu menuju ke arah wawasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk Bangsa Malaysia bagi kewarganegaraan biasa.
“Kita perlu berusaha ke arah itu. Ia mungkin tidak mudah tetapi kita boleh berusaha ke arah itu.”
Bangsa Malaysia diperkenalkan oleh Dr Mahathir pada 1991, sebagai sebahagian daripada projek Wawasan 2020.
Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata, kerajaan kini dalam peringkat menyampaikan apa yang dijanjikan dalam manifesto berhubung hak asasi manusia.
“Kerajaan perlu banyak terlibat dengan hak asasi manusia. Mereka perlu bertemu dengan lebih banyak kumpulan hak asasi manusia.
“Kita perlu melihat kepada isu berkaitan imigresen dan pemerdagangan manusia,” tambah Lim. – 25 Ogos, 2018
Komen