Kanak-kanak perlu dilindungi daripada perkahwinan bawah umur 


Noel Achariam

Aktivis dan pengasas Yayasan Chow Kit Dr Hartini Zainudin (lima dari kanan) bersama peguam dan Setiausaha Agung Hakam Lim Wei Jiet (enam dari kanan) pada forum Perkahwinan Kanak-kanak dan janji PH untuk hak asasi manusia yang diadakan di MCCHR Pusat Rakyat LB, Kuala Lumpur.– Gamnbar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Ogos, 2018

PERKAHWINAN bukan lagi sebuah institusi yang suci, tetapi dijadikan ruang oleh pedofilia melepaskan diri daripada rogol statutori, kata ahli jawatankuasa Projek Layang-Layang, Azira Aziz.

Beliau berkata perkahwinan melibatkan kanak-kanak bukan mengenai agama atau budaya tetapi untuk melindungi kanak-kanak itu sendiri.

“Secara dasarnya apabila ini berlaku, kepentingan kanak-kanak tidak akan diberi perhatian dan kebajikan perogol yang diberi keutamaan,” katanya pada forum hak asasi manusia yang diadakan di MCCHR Pusat Rakyat LB, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan menjadi tumpuan dan mencetuskan kemarahan apabila dilaporkan berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, terdapat 10,000 kes perkahwinan bawah umur masyarakat Islam sejak sedekad lalu dengan Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Projek Layang-Layang terdiri daripada kumpulan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang bagi memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan dan kemahiran untuk melindungi mereka daripada penderaan seksual kanak-kanak.

Azira berkata pendidikan dan pemahaman isu perkahwinan kanak-kanak amat penting bagi semua lapisan masyarakat.

Pada forum berkenaan, pengasas Yayasan Chow Kit Dr Hartini Zainudin berkata tidak sukar untuk Putrajaya mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

“Kerajaan perlu melihat semula dan membincangkan isu ini dengan jujur dan terbuka.

“Terdapat jurang di antara perkahwinan kanak-kanak dan beberapa isu perlu dikaji semula bagi mencari penyelesaian.

“Ia perlu dilihat sebagai isu perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Ahli Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia Lim Wei Jiet berkata isu yang paling penting adalah pihak berkuasa perlu menguatkuasakan jenayah seksual terhadap golongan bawah umur.

“Parlimen telah meluluskan undang-undang dengan mesej eksplisit bahawa kita tidak boleh bertolak ansur dengan penderaan seksual.

“Pihak berkuasa perlu hormati undang-undang dan mereka perlu kuatkuasakannya,” katanya. – 25 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen