TRAUMA dialami keluarga Orang Asli yang kehilangan anak tiga tahun lalu, memusnahkan kepercayaan mereka terhadap sistem pendidikan.
Enam keluarga di mana anak mereka lari dari asrama sekolah dan sesat dalam hutan, tidak mahu menghantar anak mereka yang lain ke sekolah.
Malah, penduduk kampung mereka di Kampung Penad dan Kampung Gawin di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan pada awalnya tidak mahu menghantar anak kembali ke SK Pos Tohoi, di mana tujuh murid berusia antara 7 dan 11 tahun hilang pada 23 Ogos, 2015.
Kepercayaan keluarga itu kepada pihak berkuasa terhakis dengan kejadian membabitkan kehilangan kanak-kanak itu, dan kemudiannya disusuli dengan operasi pencarian yang tidak tersusun.
Ayel Ajip, 50, mendakwa mereka hanya tahu tentang kehilangan kanak-kanak itu dua hari selepas kejadian, dan daripada penduduk kampung, bukannya sekolah.
Polis tiba di sekolah yang terletak di tengah hutan simpan Balah, empat hari selepas kejadian, katanya.
“Sebelum kejadian itu, kami sanggup hantar anak kami berusia tujuh tahun tinggal di asrama sekolah,” kata Ayel kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya tahu ibu bapa lain tidak berani buat begini, hanya ibu bapa Orang Asli sanggup hantar anak mereka jauh ketika usia tujuh tahun,” katanya, di mana seorang lagi anaknya bernama Ika, 9, antara yang meninggal dunia dalam insiden itu.
“Kami hantar mereka ke sekolah supaya masa depan mereka lebih baik. Tetapi selepas kejadian itu, kami takut untuk hantar anak kami lagi ke sekolah,” kata Ayel.
Kanak-kanak dari sekitar perkampungan Temiar dihantar ke SK Pos Tohoi di mana kebanyakannya akan memilih tinggal di asrama kerana jarak antara sekolah dengan kampung mereka amat jauh.
Tujuh kanak-kanak terbabit lari ke dalam hutan selepas dimarahi oleh seorang guru.
Hanya dua ditemui masih hidup 46 hari kemudian.
Selain Ika, kanak-kanak yang hilang itu ialah Sasa Sobri, berusia lapan tahun ketika kejadian, Juvina David, 7, Linda Rosli, 8, adik beradik Haikal,10, dan Norieen Yaakob, 11, serta Miksundiar Aluj, 11.
Hanya Norieen dan Miksundiar ditemui hidup.
Kurang pemahaman
Guru sekolah kebangsaan berkata seorang bapa Rosli Alik, 32, tidak faham bahawa kanak-kanak Orang Asli malu dan takut dengan golongan dewasa yang bukan orang Temiar, berbanding kanak-kanak daripada masyarakat lain.
“Malah ketika saya kecil, kali pertama ke sekolah, guru jerit pada saya kerana saya tidak faham Bahasa Malaysia. Ini kerana saya membesar bercakap bahasa Temiar,” kata Rosli.
“Anak-anak kami hanya membesar di kampung dan mereka tidak terdedah pada dunia luar dan orang asing.”

Selepas insiden itu, Ayel berkata guru, warden asrama atau pegawai jabatan pendidikan tidak pernah melawat ibu bapa terbabit untuk membina semula hubungan antara masyarakat itu dengan sekolah.
Katanya, kakitangan yang sama ketika kejadian itu masih bekerja di sekolah, malah ibu bapa yang anak mereka tidak kehilangan anak dalam tragedi itu juga hanya mula menghantar semula anak mereka ke sekolah pada tahun lalu.
Rosli berkata keengganan menghantar semula anak ke sekolah kerana mereka merasakan kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak dapat menjaga diri sendiri.
“Masyarakat mana yang hantar anak umur tujuh tahun ke sekolah asrama? Kanak-kanak semuda itu masih perlukan ibu bapa mereka.”
Katanya, di asrama Pos Tohoi, kanak-kanak Orang Asli tidak diajar pun bagaimana membasuh baju sendiri.
“Tidak ada orang dewasa untuk menyelia mereka dan arah mereka untuk mandi.”
Itu sebabnya kenapa masyarakat Orang Asli berkenaan mahu kerajaan membina sekolah rendah untuk kanak-kanak tujuh hingga 11 tahun dekat dengan perkampungan Orang Asli supaya kanak-kanak boleh tinggal dengan ibu bapa masing-masing.
“Perkara ini pernah disyorkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia. Kami berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat lebih memahami nasib Orang Asli,” kata peguam yang mewakili keluarga terbabit, Siti Kassim. – 24 Ogos, 2018.
Komen