SEORANG ibu dari masyarakat Orang Asli menangis apabila mengenang kembali kematian anak lelakinya dalam tragedi di Gua Musang, yang mendapat liputan meluas media di Malaysia tiga tahun lalu.
Kesedihan Midah Angah memberi kesan kepada enam lagi ahli keluarganya yang turut menangis pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini berhubung saman sivil terhadap agensi kerajaan Malaysia berikutan kehilangan anak mereka itu.
Masyarakat Orang Asli lain yang turut hadir di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur mula menangis teresak-esak apabila Midah, 41 dari Kampung Penad, mula menangis sebaik sahaja memegang mikrofon.
Mesej yang cuba disampaikannya tenggelam dalam tangisan dan ibu kepada Haikal Yaakob, 110 tahun yang meninggal dalam tragedi itu, kembali menggunakan bahasa suku Temiar.
Seorang lagi bapa, Sobri Latif, 25 meletakkan kepalanya di atas bahu Ayel Ajip, 50, yang duduk di sebelahnya di pentas dan memeluk jirannya untuk menghentikan kedua-dua mereka daripada terus menangis.
Sobri kehilangan anak perempuannya Sasa, yang berusia lapan tahun ketika itu, manakala Ayel juga kehilangan ana perempuannya Ika, 9.
Tiga kanak-kanak itu bersama empat lagi yang lain - Juvina David, 7, Linda Rosli, 8, Norieen Yaakob dan Miksundiar Aluj, 11, hilang daripada Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi di Gua Musang pada 23 Ogos, 2015.
Mereka dilaporkan melarikan diri ke hutan berhampiran sekolah berkenaan selepas dimarahi guru mereka.
Hanya Norieen dan Miksundiar ditemui hidup oleh anggota penyelamat selepas 46 hari berada di hutan berkenaan.
Hanya mayat Sasa dan Juvina kemudiannya ditemui di hutan berkenaan. Tiga lagi kanak-kanak terbabit tidak ditemui.
Dua keluarga, Sobri dan Midah berasal dari perkampungan yang terletak di kawasan pedalaman hutan di Ulu Kelantan.
Norieen yang kini berusia 13 tahun menarik diri dan tertekan dengan sepanjang sidang media itu dan menurut Midah, remaja terbabit masih terkesan dengan apa yang dialami.
Remaja terbabit melihat kanak-kanak lain termasuk adik lelakinya, Haikal, mati akibat kecederaan yang dialami di hutan, kata peguam yang mewakili keluarga itu Siti Kassim.
Mayat salah seorang kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan menyayat hati dan dimakan oleh biawak, kata peguam berkenaan.
“Sudah tiga tahun berlalu namin kami masih tidak dpat melupakan insiden berkenaan,” kata Ayel.
“Nampak seolah-olah kerajaan tidak peduli dengan apa yang kami lalui. Seperti kami tidak penting kepada mereka.”
Keluarga berkenaan menyaman kerajaan kerana kecuaian dan kerana melanggar kewajiban perlembagaannya untuk melindungi anak-anak yang di bawah jagaan pihak sekolah.
Saman itu menamakan kerajaan dan lapan pegawai dari Jabatan Pendidikan Kelantan, polis dan jabatan hal ehwal Orang Asli.
Ketika mereka hilang, tujuh kanak-kanak terbabit tinggal di asrama sekolah.
Mereka mencari ganti rugi umum yang sepatutnya diputuskan oleh mahkamah, kata Gokul Radhakrishnan, peguam yang mewakili Norieen dan Midah.
Satu pasukan enam peguam daripada lima firma mewakili enam keluarga berdasarkan pro bono.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Baru pada 13 Ogos. Tarikh seterusnya bagi pengurusan kes ditetapkan pada 18 September.
“Saman itu juga meminta pengisytiharan daripada kerajaan untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan Orang Asli seperti keadaan sekolah mereka,” kata Gokul.– 24 Ogos, 2018
Komen