MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran terhadap permohonan kumpulan 1MDB untuk menjual kapal pesiar mewah bernilai RM1 bilion, Equanimity.
Peguam yang mewakili plaintif, Ong Chee Kwan memberitahu pemberita perintah tersebut telah diberikan sementara menunggu penentuan tindakan.
“Kita telah menerima perintah kebenaran untuk menjual kapal itu sementara menunggu penentuan tindakan dan kerana penyelenggaraannya terlalu tinggi, kami perlu menjualnya secepat mungkin.”
“Lebih lama ia diselenggara, ia akan menurunkan nilainya,” kata Ong.
Keputusan untuk menjual kapal mewah berkenaan dicapai selepas Ong dan kumpulan peguam yang mewakili plaintif, 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia bertemu Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah Idris berhubung perkara itu.
“Jadi perintah itu telah diberikan, langkah seterusnya kami adalah untuk meneruskan (prosiding) secepat mungkin untuk kapal itu dijual,” tambah Ong.
Bagaimanapun, tiada wakil pemilik Equanimity atau ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho hadir di mahkamah.
Ong mendedahkan surat telah dihantar kepada defendan yang mempunyai 14 hari untuk menjawabnya atau hadir di mahkamah.
“Kami sudah hantar surat kepada defendan dan sekiranya mereka mahu membela milikan kapal berkenaan mereka perlu hadir ke mahkamah.”
“Mereka tiada di sini hari ini dan mereka ada 14 hari untuk bertindak,” kata seorang lagi peguam, Jeremy Joseph.
Permohonan untuk menjual kapal berkenaan dibuat pada Selasa dan ia meminta pendaftar mahkamah untuk menjual kapal berkenaan dengan cara lelongan awam atau perjanjian peribadi.
Pemilik kapal berkenaan, Equanimity Cayman Ltd memfailkan tuntutan ke atas kapal berkenaan, manakala Low menerusi peguamnya mempertikaikan tindakan Malaysia untuk mengambil alih pemilikan kapal berkenaan sejak ia diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia awal bulan ini.
Ong berkata kapal mewah berukuran 91 meter panjang itu boleh dijual dalam tempoh satu atau dua bulan, dan menambah sesiapa yang membelinya alan mendapat “milikan bebas dan bersih”.
“Saya rasa dalam satu atau dua bulan, kita boleh jualnya. Buat masa ini kerajaan menanggung kos penyelenggaraan.
“Pemilik baru akan mendapat milikan bersih. Tiada isu lagi dengan pemilik baru,” kata peguam terbabit.
Kapal itu boleh dijual sehingga RM500 juta, disebabkan susut nilai, sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai, kata menteri kabinet Sivarasa Rasiah baru-baru ini.
Low yang hari ini didakwa tanpa kehadiran atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB, beerkata beliau tidak akan menyerah kepada perbicaraan tidak adil.
Katanya dakwaan yang dibuat adalah bagi mengalih perhatian kepada penyitaan kapal berkenaan secara tidak sah oleh Malaysia. – 24 Ogos, 2018
Komen