SYARIKAT pelaburan berpangkalan di Johor Bahru, Aldi International Sdn Bhd memecah rekod apabila menang bidaan plat nombor kenderaan khas MALAYSIA 1 dengan tawaran RM1,111,111.
Selain nombor kenderaan MALAYSIA 1, Aldi juga berjaya mendapatkan MALAYSIA 2 dan MALAYSIA 4, masing-masing dengan harga RM422,000 dan RM162,000.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini, kerajaan memperolehi RM3,622,610 untuk bidaan 10 teratas plat nombor istimewa itu.
“Bayaran tertinggi sebelum ini untuk plat kenderaan adalah RM989,000 untuk nombor V1,” kata Loke.
Loke menambah yang bidaan tertinggi pernah berlaku di Malaysia adalah RM1.3 juta untuk plat PATRIOT 1.
“Tetapi kerajaan tidak mendapat wang kerana ia untuk NGO. Nombor itupun masih belum didaftarkan,” katanya.
Daripada 9,836 bidaan diterima, hanya 3,353 bidaan berjaya. Jualan plat kenderaan MALAYSIA yang bermula antara 1 hingga 15 Ogos berjaya mengutip RM13,167,971.37.
Jumlah bidaan tertinggi datangnya dari Kuala Lumpur (3,488 bidaan) diikuti Johor (1,946), Selangor (1,014) dan Pulau Pinang (928).
Menurut Loke, jumlah bidaan tertinggi adalah untuk nombor MALAYSIA 8055 (dibaca sebagai BOSS) sebanyak 49 bidaan. Ia dijual dengan harga RM81,888.
Nombor lain yang popular adalah MALAYSIA 100 (31), MALAYSIA 1957 (29) dan MALAYSIA 509 (12).
“Saya juga buat bidaan untuk plat 509 tetapi tak berjaya,” katanya, menambah yang kerajaan baharu akan telus dengan semua maklumat berkaitan bidaan tersebut.
“Bidaan saya sebanyak RM1,509 berada di tangga ke-11 sementara yang menang berharga RM20,000,” katanya.
Katanya, kerajaan mungkin akan mengeluarkan lagi plat kenderaan khas di masa depan kerana ia salah satu sumber pendapatan.
“Kerajaan sebelum ini biasanya beri plat khas ini untuk NGO terpilih sahaja dengan bayaran hanya RM1 juta tetapi kita tunjukkan yang ia boleh jana lebih pendapatan untuk kerajaan jika diuruskan secara terus,” kata Loke.
Menurutnya lagi, hanya satu nombor tidak dijual.
“Nombor MALAYSIA 2020 dikhaskan untuk kenderaan rasmi perdana menteri. Kami berharap ia akan digunakan sempena sambutan Hari Merdeka,” katanya.
Untuk nombor lain, rakyat masih boleh membidanya di cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pembida yang berjaya diberikan tempoh sebulan untuk membuat pembayaran dan perlu mendaftar kenderaan dengan nombor plat tersebut dalam tempoh setahun selepas bayaran dibuat. – 24 Ogos, 2018.

Komen