Anwar terima penyelesaian saman fitnah dengan TV3, bekas calon BN


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim berkata secara prinsipnya beliau sudah bersetuju menyelesaikan kes saman fitnah kepada TV3 dan Dr Mazlan Ismail, peguamnya sedang berbincang terma dan syarat penyelesaian itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Ogos, 2018.

ANWAR Ibrahim bersetuju untuk menerima penyelesaian luar mahkamah dengan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan bekas calon Barisan Nasional Dr Mazlan Ismail dalam saman fitnah difailkan presiden PKR itu pada 2015.

Anwar memberitahu wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang sudah tiba masanya untuk melupakan semuanya dan beliau bersetuju secara prinsip dengan penyelesaian itu.

“Saya tak di sini untuk lawan, saya mahu lupakan semuanya. Ia sudah berlanjutan bertahun lamanya dan saya setuju untuk tamatkan perkara ini.”

“Peguam saya sedang berbincang tentang terma dan syarat tetapi saya sudah bersetuju secara prinsip,” katanya.

Mazlan merupakan calon BN kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 2013 yang diadakan bulan Mei. Pada Ogos tahun sama, Anwar menuduhnya memfitnah dalam sidang media yang disiarkan TV3.

Pada sidang media itu, Mazlan mengeluarkan kenyataan mencadangkan Anwar merasuah hakim dan pendakwaraya.

Peguam mewakili TV3 dan Mazlan, Hasnal Rezua Merican berkata perjanjian sudah dicapai antara tiga pihak terlibat dan penyelesaian bersama akan dibentangkan di hadapan hakim pada Rabu.

Hasnal menambah yang Mazlan akan membuat permohonan maaf di depan bekas ketua pembangkang itu pada 28 September.

Bagaimanapun, menurutnya, penyelesaian hari ini tidak melibatkan Utusan Malaysia.

“Ketiga-tiga bersetuju menyelesaikan luar mahkamah dan penghakiman persetujuan akan dicatatkan minggu depan. Butiran penyelesaian masih belum ada kerana sedang dirangka.”

“Dr Mazlan yang sekarang berada di Mekah akan membuat permohonan maaf bulan depan selepas balik dari Haji. Utusan Malaysia tidak terlibat (dalam penyelesaian) hari ini,” katanya.

Peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo memberitahu media yang beliau yakin perjanjian akan dibuat seberapa segera, menambah yang Utusan Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Saya yakin kami akan capai persefahaman. Kami sedang merangka terma dan kami perlu memastikan ayat permohonan maaf yang akan dibacakan dalam mahkamah.”

“Saya percaya Utusan (Malaysia) juga sedang mempertimbangkan untuk penyelesaian (luar mahkamah) juga,” katanya. – 24 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen