Usah bangkit lagi konspirasi halang saya jadi PM, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR meminta agar semua pihak berhenti daripada terus mensensasikan dakwaan bahawa wujud konspirasi untuk menghalang beliau daripada menjadi perdana menteri kelapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Ogos, 2018.  

ANWAR Ibrahim meminta agar semua pihak berhenti daripada terus mensensasikan dakwaan bahawa wujud konspirasi untuk menghalang beliau menjadi perdana menteri kelapan. 

Beliau berkata demikian selepas mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid atas permohonan maaf yang dibuatnya kerana mencetuskan dakwaan itu.

“Saya sambut baik permohonan maaf beliau (Abdullah Sani). Saya nasihatkan setiap orang yang terlibat dalam kempen supaya tidak salah guna kuasa mereka,” kata Anwar kepada pemberita pagi ini.

Anwar berkata perkara itu sudah selesai dan menyeru agar ahli PKR memperkukuhkan struktur parti.

“Ya, saya berterima kasih kepada beliau atas permohonan maaf itu. Ia sudah selesai. Kita harus terus bergerak ke hadapan bagi memperkukuhkan parti dan kita harus pastikan yang parti dalam struktur yang kukuh.”

Selasa lalu, Abdullah Sani pada sidang media memohon maaf kepada Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa perdana menteri itu dan Daim Zainuddin terlibat dalam konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri kelapan. Abdullah Sani turut menghantar surat permohonan maaf tersebut ke pejabat Dr Mahathir di Putrajaya.

Beliau berkata Anwar sudah menyakinkannya bahawa Dr Mahathir komited dengan konsensus Pakatan Harapan, iaitu Anwar akan jadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

“Selepas diberi nasihat, penjelasan, penerangan dan arahan dari Anwar Ibrahim, maka saya memamahi tentang pelaksanaan peralihan kuasa yang saya bangkitkan kebelakangan ini sehingga mengheret nama baik Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan ini saya ingin memohon maaf atas keterlanjuran bicara dan semoga kebimbangan saya tentang usaha dan cubaan untuk mengagalkan peralihan kuasa tersebut yang dimainkan peranannya oleh Tun (Dr Mahathir) adalah tidak benar,” kata Abdullah Sani.

Abdullah Sani, yang berkempen bagi pihak Rafizi Ramli yang merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR, mendakwa bahawa Dr Mahathir dan Daim menyokong penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai perdana menteri.

Kedua-dua Dr Mahathir dan Daim menafikan dakwaan tersebut. Dr Mahathir juga menuntut bukti berhubung dakwaan itu. – 24 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen