Pulau Pinang giat usaha penerangan pelan pengangkutan pada penduduk


Looi Sue-Chern

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) terdiri daripada beberapa projek antaranya projek pembinaan lebuh raya Pan Island (PIL1) dan LRT (transit aliran ringan). – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2018.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan lebih banyak sesi bertemu masyarakat bagi menjelaskan kepada penduduk negeri itu berhubung kepentingan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), termasuk projek pembinaan lebuh raya Pan Island (PIL1) dan LRT (transit aliran ringan).

Beliau menjemput rakyat Pulau Pinang untuk menghadiri forum bertajuk “PTMP untuk rakyat Pulau Pinang” yang akan diadakan pada 2 September, sambil menambah yang kerajaan negeri juga sedang dalam perancangan untuk menganjurkan sesi “town hall” mengenai PIL1 bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung isu kesan alam sekitar akibat daripada rancangan pembinaan lebuh raya terbabit.

“Kerajaan negeri mahu mendengar kebimbangan rakyat dan menjawab segala pertanyaan mereka,” kata Chow kepada pemberita.

Forum berkenaan akan diadakan tepat seminggu selepas Penang Forum - kumpulan masyarakat sivil Pulau Pinang yang lantang menentang projek PIL1 dan LRT - menganjurkan himpunan bagi menjelaskan pendirian mereka mengenai PTMP.

Penang Forum mengalakkan masyarakat, khususnya yang menetap di Paya Terubong dan Air Itam yang dikatakan paling teruk terjejas akibat pembinaan PIL1, untuk menghadiri forum yang akan dijalankan dalam bahasa Melayu dan Inggeris di Dewan Sri Pinang pada Sabtu ini, dan forum dalam bahasa Cina di Persatuan Teochew keesokannya.

Kumpulan itu dan aktivis alam sekitar mendakwa projek berkenaan tidak menyelesaikan masalah trafik untuk jangka masa panjang dan sebaliknya akan memusnahkan kebanyakan landskap berbukit semulajadi di Pulau Pinang.

Ramai tidak tahu tentang PTMP

Walaupun projek di bawah PTMP berskala besar, tahap kesedaran orang awam mengenainya masih rendah.

PIL1 adalah projek lebuh raya sepanjang 19.5km bermula dari Persiaran Gurney di utara sehingga Relau dan turut menghubungkan Jambatan Pulau Pinang kedua di Selatan, memintasi banyak pekan kecil dan jalan raya sesak.

Bagaimanapun, projek mega itu akan menyaksikan 70% daripada terowongnya melalui kawasan berbukit di Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara. Sesetengah cadangan persimpangan lebuh raya juga akan memberi kesan kepada komuniti sedia ada.

Berdasarkan reka bentuk awal persimpangan di Paya Terubong, dianggarkan 11 kediaman, 29 unit komersial, satu kuil, dan 12 struktur kecil akan terjejas oleh projek itu.

Tetapi ramai penduduk tempatan yang memiliki kedai dan rumah bersebelahan Jalan Paya Terubong, di mana persimpangan itu dicadang untuk dibina, kurang tahu tentang projek berskala besar itu.

Tukang baiki televisyen Meng Wow Chong, yang memiliki kedai di persimpangan tersebut, kelihatan terkejut apabila mengetahui yang projek tersebut akan dilaksanakan berhampiran tempat beliau mencari rezeki.

Kedainya tidak perlu memberi laluan kepada projek berkenaan tetapi deretan kedai yang bertentangan dengannya mungkin, jika rancangan itu tidak berubah.

“Apa yang akan terjadi pada mereka yang terjejas? Adakah pemilik tahu?” kata Heng kepada The Malaysian Insight.

Ooi, 70, penjual buah yang meniaga di siar kaki deretan kedai yang terjejas, berkata beliau percaya hanya siar kaki di depan kedai akan digunakan untuk melebarkan jalan.

“Seorang juruukur datang baru-baru ini untuk mengambil ukuran. Lelaki itu berkata kerajaan merancang untuk mengambil balik ruang siar kaki untuk jalan utama.

“Dia memberitahu saya, saya tidak dapat meletakkan gerai saya lagi dan saya perlu memindahkannya ke dalam. Itu sahaja,” katanya.

Ooi kelihatan lega apabila diberitahu bahawa projek itu masih belum diluluskan, dan pelarasan serta pelan persimpangan itu mungkin berubah bergantung kepada maklum balas orang ramai.

Ramai penduduk tempatan lain masih samar-samar, jika tidak bercanggah, tentang PIL1 atau PTMP, sehingga menyebabkan pembantah projek berkenaan menuduh kerajaan melakukan usaha yang kurang untuk mendidik pihak berkepentingan dan mereka yang mata pencariannya bakal terjejas ekoran pelaksanaan projek itu.

Namun Konsortium SRS, rakan penyampai projek PTMP, menegaskan bahawa mereka telah mengadakan sesi bertemu orang awam sejak Disember 2015, yang melaksanakan sejumlah 965 sesi sebelum dan semasa proses penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Sesi itu melibatkan agensi kerajaan, termasuk wakil rakyat, ahli Parlimen, pemimpin masyarakat tempatan, kumpulan profesional dan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, media, nelayan dan penduduk setempat.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran untuk kebanyakan acara adalah rendah.

Pegawai SRS itu memetik mesyuarat dengan konsortium tahun lepas, semasa risalah diedarkan kepada penduduk tempatan.

“Tetapi ramai yang tidak hadir. Kemudian kami perlu meneruskan laporan EIA untuk lebuh raya,” katanya, merujuk kepada laporan yang baru-baru ini dipaparkan kepada umum untuk mendapatkan maklum balas mereka.

SRS berkata mereka juga sudah berbincang dengan pengkritik PIL1 yang terdiri daripada Persatuan Penduduk Jesselton, penduduk Sungai Ara, dan Jawatankuasa Kuil Kek Lok Si dalam dialog tertutup untuk menangani kebimbangan dan bantahan mereka.

Sesi berkenaan juga dilakukan untuk menerangkan mengenai rancangan pembinaan LRT dari Komtar ke lapangan terbang Pulau Pinang di Bayan Lepas, dan pelan penambakan PSR, yang merupakan kebimbangan besar bagi nelayan tempatan.

Chow memberitahu pemberita semalam bahawa sesi bertemu masyarakat berhubung PTMP itu mungkin merupakan sesi seumpananya yang terbesar pernah dilakukan di Malaysia untuk sesebuah projek.

“Setiap kali surat yang menyatakan kebimbangan mengenai projek itu diterima, satu pasukan akan dihantar untuk bertemu pihak yang berkenaan untuk mendengar kebimbangan dan memberi penjelasan.

“Ini masih dilakukan,” katanya. – 24 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen