ISTERI kepada pastor Raymond Koh yang masih hilang, Susanna Liew, hilang sabar dengan Putrajaya.
Suaminya didakwa diculik dua tahun lalu ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dan beliau menaruh harapan apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada Mei, namun beliau sekali lagi kecewa apabila penderitaannya tidak mendapat perhatian.
“Kerajaan baharu hanya sibuk menyelesaikan isu ekonomi negara tetapi bagaimana dengan nyawa yang telah dirampas,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kami merasakan ini lebih penting berbanding harta dan wang kerana ini adalah nyawa yang dirampas. Keluarga kami dan rakan-rakan terjejas.
“Kami faham kerajaan baharu ingin selesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad dan skandal kewangan lain, tetapi ini melibatkan nyawa rakyat.”
Beliau mahukan kepentingan yang sama rata diberikan untuk mencari jawapan berhubung kehilangan Koh dan tiga yang lain yang disenaraikan sebagai hilang sejak lebih dua tahun lalu.
“Suami saya hilang lebih 600 hari. Kami mahu resolusi berhubung isu ini. Mereka dilarikan dan kami mahu tahu mengapa?” kata Susanna
Beliau memberi maklum balas berhubung pengumuman siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan suaminya, yang ditangguhkan pada Januari. akan bermula pada 27 Ogos.
“Saya gembira akhirnya siasatan ini bersambung dan kami boleh berharap agar mendapat penyelesaian dan kemudian pengesyoran boleh dibuat di Parlimen, peguam negara dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Siasatan awam kehilangan Koh akan bersambung pada Isnin selepas ia ditangguhkan 16 Januari apabila polis berkata mereka sudah mendakwa pemandu uber sambilan, Lam Chang Nam berhubung penculikan pastor itu.
Polis menggunakan Seksyen 12(3) Akta Suhakam 1999, yang menyatakan sekiranya subjek siasatan didengar di mahkamah, suruhanjaya akan menghentikan siasatan serta merta.
Liew berharap apabila siasatan bersambung keluarganya akan mendapat jawapan mengenai persoalan yang dibangkitkan berhubung apa yang berlaku terhadap empat yang hilang itu.
“Keluarga mahu tahu siapa yang memberi arahan (penculikan) dan sekiranya ada cubaan untuk melindungi individu terlibat yang mungkin pegawai atasan kerajaan.
“Kami faham sukar untuk mengetahui siapa sebenar yang bertanggungjawab tetapi daripada siasatan itu, kita boleh melihat sama ada terdapat kaitan antara badan agama dan pihak berkuasa.
“Keluarga berhak untuk tahu aa yang berlaku kepada mereka.”
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 individu yang menaiki sebuah SUV berwarna hitam.
Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup dan disifatkan sebagai operasi terancang.
Bulan lalu, panel mendengar keterangan isteri aktivis Amri Che Mat yang hilang, Norhayati Ariffin yang mendakwa pegawai polis memberitahunya Cawangan Khas (SB) Bukit Aman terbabit dalam penculikan suaminya dan Koh.
Norhayati kemudian membuat laporan polis dan menamakan pegawai terbabit sebagai Shamzaini Mohd Daud. Dua hari kemudian Shamzaini membuat laporan menafikan kesemua dakwaan yang dikatakan Norhayati.
Amri didakwa disiasat kerana menyebarkan ajaran Syiah.
Beliau dilaporkan hilang pada 24 November 2016, dan dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kampung Padang Behor.
Siasatan Suhakam itu dipengerusikan Mah bersama dua lagi pesuruhjaya, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha.
Siasatan panel mahu menentukan sama ada kehilangan Koh, Amri dan dua yang lain, Pastor Joshua dan isterinya Ruth Hilmy pada 2016 adalah kes kehilangan paksa yang melibatkan pihak berkuasa. – 24 Ogos, 2018
Komen