Badan perundangan masih bincangkan tindakan lanjut


Bede Hong

Presiden Majlis Peguam George Varughese berkata masih belum ada keputusan muktamad berhubung tindakan yang bakal diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2017.

TIGA kumpulan yang mewakili peguam di negara ini akan membuat keputusan dalam beberapa hari lagi sama ada akan mengambil tindakan undang-undang yang belum pernah dilakukan sebelum ini untuk menghalang lanjutan perkhidmatan ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan.

“Tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini,” kata presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak, Ranbir Singh Sangha yang menganjurkan pertemuan dengan Persatuan Undang-Undang Sabah dan Majlis Peguam di Miri hari ini.

Lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Makinudin menjadi sebahagian daripada perbincangan dalam pertemuan itu, kata Ranbir ketika dihubungi hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Presiden Majlis Peguam George Varughese dan Brendan Soh yang mengetuai SLA.

“Ketiga-tiga pihak itu akan berkomunikasi antara satu sama lain dalam tempoh beberapa hari ini untuk memutuskan tindakan lanjut sewajarnya,” katanya.

Varughese memberitahu The Malaysian Insight pilihan mengenai langkah yang akan dilaksanakan bersama tiga badan perundangan itu, termasuk memulakan prosiding undang-undang berhubung pelantikan tidak berperlembagaan itu diperoleh pada mesyuarat hari ini.

“Keputusan mengenai tindakan bersama akan dilaksanakan hanya akan ditentukan selepas tiga badan perundangan ini membincangkan isu tersebut dengan badan masing-masing serta jawatankuasa pusat dan eksekutif,” kata Varughese.

Pada 7 Julai, kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Raus dan Zulkefli masing-masing tiga dan dua tahun.

Mereka dilantik sebagai hakim tambahan untuk meletakkan mereka bertugas melebihi had umur 66 tahun enam bulan, selaras dengan Artikel 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan berkenaan menyelar lanjutan itu, dan menyifatkan ia sebagai tidak berperlembagaan dan menyebabkan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman terhakis.

Selepas pertemuan dengan peguam Borneo hari ini, Varughese akan mengadakan persidangan di Kuala Lumpur Selasa depan, di mana di mengharapkan reaksi positif daripada 16,500 ahli.

Varughese berkata kemungkinan cabaran itu lebih tinggi apabila ahli yakin ia merupakan tindakan yang wajar diambil.

“Ini akan menjadi satu perkara yang belum pernah berlaku dalam sejarah Majlis Peguam.

“Kita pernah fail untuk cabar sebelum ini, tetapi ia berkenaan pelantikan haim lain. Bukan terhadap ketua hakim yang masih memegang jawatan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.  – 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen