PUTRAJAYA perlu menjadikan proses pemerolehan telus bagi menutup ketirisan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang pembayar cukai pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata sebuah kumpulan pendesak selepas 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) tamat.
Pengarah Eksekutif Centre to Combat Cronyism and Corruption (C4) Cynthia Gabriel berkata C4 akan melancarkan laporannya bertajuk “Pemerolehan sebagai sebahagian tadbir urus baik dalam Malaysia baharu, cabaran dan syor” pada Selasa depan di mana ia berharap akan menjadi buku panduan untuk pentadbiran baharu.
“Pemerolehan barangan dan perkhidmatan membabitkan ratusan bilion ringgit, dan banyak kontrak diberikan menerusi tender langsung dan rundingan, di mana kemungkinan ketirisan dan rasuah amat tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Laporan itu yang mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan, memberikan contoh kesilapan pemerolehan dibuat oleh kerajaan BN seperti projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diberikan tanpa tender terbuka.
Laporan itu turut memetik contoh daripada Laporan Ketua Audit Negara, serta kes yang dibangkitkan oleh wakil rakyat PH.
Cynthia berkata pemerolehan ialah “bahagian yang paling terdedah kepada rasuah”.
“Malah kerajaan baharu PH mendedahkan ini masalah besar, dan projek infrastruktur dalam bahagian tertentu, kosnya menjadi sangat tinggi,” katanya.

Pelancaran laporan itu akan disusuli dengan seminar di mana ahli panelnya terdiri daripada Menteri Kerja Raya Baru Bian, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abu Kassim Mohamed.
“Pada forum ini, menteri kerja raya akan menyampaikan ucapan menggariskan cabaran dalam industri infrastruktur dan bagaimana isu pemerolehan perlu ditangani dengan lebih baik,” katanya.
Pua yang juga penasihat khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan menyentuh tentang dasar berkenaan pemberian kontrak.
“Pua akan bercakap tentang dasar dan pekeliling Kementerian Kewangan yang terpakai kepada semua jabatan kerajaan, di mana dasar itu akan perlu diperbaharui dan berubah, dan bagaimana tender dan kontrak boleh diberikan dengan cara lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Abu Kassim, mengetuai Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) yang baru ditubuhkan, akan bercakap tentang membanteras rasuah.
“Ia perkara penting dalam membanteras rasuah, dan kami berharap GIACC yang juga membentangkan pelan dan dasar perubahan mereka, akan mencari cara baru untuk ubah perkara penting ini,” katanya.
Pembentangan laporan itu dan seminar akan diadakan di Hotel Aloft Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Sesiapa yang berminat untuk turut serta boleh mendaftar di sini. – 24 Ogos, 2018.
Komen