RATUSAN ahli PAS di Kota Raja dijangka akan meninggalkan parti kerana kecewa dengan keputusan menyokong calon Umno dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis, kata sumber.
Jumlah itu menggambar peralihan sokongan besar memandangkan ahli PAS di kawasan Parlimen itu hanya berjumlah sekitar 3,000 orang.
Menurut sumber dari Pakatan Harapan bahagian Kota Raja, ahli parti tersebut hampa kerana PAS sanggup menguji kesetiaan mereka dengan arahan agar menyokong parti lawan mereka selama ini.
“Yang dah bagi borang (sertai Amanah atau Bersatu) pun ada kerana mereka kecewa. Mereka (ahli PAS) kata tak patut nak sokong Umno, sedangkan PAS selama ini bertentang dengan Umno.
“Mereka tidak boleh terima tapi disebabkan pimpinan yang suruh (sokong), mereka diamkan sajalah,” dakwanya ketika bercakap dengan The Malaysian Insight.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan ramai penyokong PAS tidak keluar mengundi dalam pilihan raya kecil hujung bulan lalu, yang menyaksikan kerusi itu kekal di tangan PKR.
“Sebab itu ramai tak keluar mengundi. Tak ada kesan (dakwat) di jari mereka pun,” kata pemimpin Amanah bahagian Kota Raja itu lagi.
Menurut sumber itu, ahli PAS berkenaan juga keliru dengan tindak tanduk pemimpin dan arah tuju parti.
“Ahli-ahli tak setuju dengan tindakan yang tidak berapa profesional dari pimpinan mereka. Seolah-olah mereka sudah hilang arah. Hendak sokong (calon) baik atau jahat?” kata sumber itu.
Walau dinafikan pemimpin PAS, pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mendakwa penolakan itu sudah dapat dikesan sejak PRU14 apabila timbul ura-ura mengenai kerjasama parti Islam itu dengan Umno.
“Mereka (ahli PAS) kata jika berlaku, mereka akan keluar parti atau jadi tidak aktif. Mereka sebut jelas bahawa mereka tidak boleh terima kerjasama PAS dan Umno,” kata Izham.
Menurutnya, pilihan raya kecil Sungai Kandis menyebabkan penyokong PAS keliru dan memprotes dengan bertindak tidak keluar mengundi.
Adun Pandan Indah itu menambah, pilihan raya kecil Balakong dan Seri Setia juga akan membuatkan ahli PAS itu lebih kecewa kerana perlu menyokong parti lawan mereka selama ini,
Dakwaan mengenai penolakan ahli itu dinafikan timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa parti itu malah menerima permohonan sehingga 3,000 ahli baru setiap bulan.
Katanya beliau belum dimaklumkan mengenai dakwaan bahawa ahli menolak kerjasama dengan Umno.
“Tak betul berita itu. Saya tak dapat lagi berita tersebut. Sehingga setakat ini kita tak menerima sebarang komen atau bantahan di peringkat pusat,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata ahli menyambut baik sokongan daripada Umno untuk calonnya di pilihan raya kecil Seri Setia, katanya.
“Saya tengok dari segi PRK Seri Setia kita lihat tak ada masalah dari segi sokongan ahli bila Umno datang menyokong kita. Ahli kita juga menyambut baik.
“Kita sebagai blok pembangkang biasalah, kerjasama untuk kuatkan blok pembangkang,” katanya.
Namun ahli jawatankuasa Amanah bahagian Kota Raja, Nurhalim Sirome pula berkata beliau tidak mendengar khabar bahawa ahli PAS yang kecewa itu mungkin menyertai partinya atau Bersatu.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ahli PAS berkenaan menyokong Pakatan Harapan secara rahsia dalam pilihan raya sebelum ini di Kota Raja.
“Ahli PAS ramai yang setia tak kira apa yang pemimpin sebut mereka akan ikut… Saya belum dengar lagi ahli PAS yang keluar (parti), masuk Amanah atau Bersatu,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Seri Setia menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Halimey Abu Bakar (PKR) dan calon PAS, bekas exco Selangor Dr Halimah Ali.
Ia merupakan pilihan raya kedua diadakan selepas PRU14, berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Baharuddin dari PKR pada 2 Ogos lepas.
Shaharuddin memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan Yusoff M. Haniff dari BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan Vigneswaran Subramaniam (Bebas).
Kawasan itu mempunyai 52,650 pengundi meliputi 55% Melayu, Cina (20%), India (24%) dan lain-lain (2%). Sebelum ini kerusi tersebut diwakili oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR selama dua penggal sejak 2008. – 24 Ogos, 2018
Komen