Apa liberalnya khutbah Dr Mujahid?


Zainal Rashid Ahmad

Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menyampaikan Khutbah Arafah di Arab Saudi, baru-baru ini. – Gambar Youtube, 23 Ogos, 2018

ADA rungutan, kononnya khutbah Arafah oleh Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa menanam fahaman liberalisme. Khutbah Isnin lalu dilabel berbau politik dan menyeru kepada kompromi agama yang membimbangkan.

Aneh! Pada bahagian mana khutbah Arafah pada Isnin lalu dicurigai berfahaman liberal?

Orang yang menyerkap jarang khutbah itu, tentunya sudah dimomok dengan fahaman: apa saja anjuran toleransi, apa saja seruan kasih-sayang dalam membina kerukunan hidup masyarakat perbagai agama ialah bersikap liberalisme.

Orang jenis ini cuba menanam kepercayaan, bahawa umat Islam hanya perlu kekal dalam satu kepercayaan sahaja: Tiap yang namanya bukan Islam ialah musuh orang Islam!

Serangan politik terhadap Dr Mujahid menjadi sensasi murahan untuk membibitkan rasa takut dan prejudis di kalangan umat Islam. Ini perlakuan asas pelobi politik yang sengaja secara ghairah mahu menggunakan unsur agama bagi menimbulkan ketakutan.

Ini kempen sensasi meracuni umat Islam untuk menentang pembaharuan yang sedang dijalankan.

Orang ini, dalam apa juga keadaan akan bermain dengan taktik badminton yang kita sebut pukulan rali ke garisan belakang. Iaitu, menggunakan elemen liberal untuk mencetuskan debat berpanjangan mengenai Islam.

Fungsi politik begini nawaitunya mudah: sengaja menghilangkan fokus terhadap usaha dakwah Dr Mujahid dan menimbulkan keletihan masyarakat untuk mengikutinya.

Mereka ini sengaja cuba memadamkan konsep Rahmatan Lil Alamin yang diterapkan kerajaan sekarang sesuai dengan usaha pembaharuan.

Dr Mujahid membawa tema Rahmatan Lil Alamin bagi membina masyarakat majmuk di negara ini dalam hubungan berteraskan kasih sayang dan menghindari kebencian.

Dalam jajaran dakwah Rahmatan Lil Alamin, Dr Mujahid mengingatkan, selain segala yang berkaitan dengan orang Islam mestilah diberikan keutamaan, namun kerajaan akan menjaga persekitaran Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Isunya, orang ini tidak faham mengenai Rahmatan Lil Alamin yang menjadi pendekatan kerajaan sekarang. Orang ini kerana jahilnya, secara sengaja telah mengaitkan semua sikap toleransi, kasih-sayang, semangat muhibbah dan saling menghormati antara agama sebagai agenda liberalisme.

Konteks ucapan Dr Mujahid di Padang Arafah sangat jelas. Khutbah bermula dengan seruan agar bertaqwa pada Allah Yang Satu serta mengingatkan 32 ribu jemaah Malaysia agar sentiasa berzikir. Selain, berpegang pada semangat ibadah haji dan ingat pada Hari Pembalasan.

Jauhi Sikap Buruk

Khutbah Arafah Dr Mujahid seterusnya menyeru jemaah untuk tidak hidup dalam kebencian, tidak menindas orang lain serta saling menjaga maruah sesama manusia.

Memang nadanya tegas apabila mengingatkan pentingnya kita tidak hidup dalam kesempitan perkauman. Malah, umat Islam mesti membetulkan hati nurani supaya melihat orang lain dalam kaca mata insaniah.

Nah! Orang yang jumud telah memetik kenyataan yang bernada Rahmatan Lil Alamin ini dan diputarkan secara jahat sebagai berbau liberalisme.

Secara mengelirukan cuba mengaitkan soal mengelakkan unsur perkauman dan melihat manusia dalam sisi murni sebagai petanda unsur-unsur liberalisme.

Apa punya daif pandangan jumud begini! Semua benda mahu dipolitikkan.

Orang jumud ini hidup dalam ketakutan seakan-akan khutbah itu akan mengubah semua hak-hak Islam di negara ini.

Dr Mujahid juga menyentuh mengenai Islam sebagai risalah insaniah yang diserukan pada semua manusia. Bahawa, perbezaan manusia bertujuan untuk saling mengenali dan saling menghormati. Namun, di sisi Allah, tetap orang yang bertaqwa berada di kedudukan tertinggi.

Seruan Rahmatan Lil Alamin dalam khutbah itu khusus menyentuh surah An Nahl. Yakni, seruan dakwah harus dijalankan dengan hikmah, serta percaya bahawa hidayah itu milik Allah.

Dr Mujahid secara harmonis mengingatkan jemaah, betapa manusia hari ini amat mendambakan rahmah Islam. Dunia sekarang, saling membunuh atas nama agama. Menggunakan alasan agama sebagai justifikasi untuk melaksanakan keganasan.

Hujahnya didokong dengan surah Al-Maidah: Membunuh seorang manusia itu sama seperti membunuh seluruh manusia.

Jadi, amatlah aneh kalau khutbah bertema Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin ini diselewengkan dengan tuduhan berbau liberalisme. Orang jahil tetap akan memutarkan kebenaran dengan kejahilan politiknya demi menikmati sensasi sokongan.

Sudah-sudahlah. Mari kita berdakwah. Sekali pun usaha dakwah itu kecil, namun ia lebih bermakna berbanding mengelirukan masyarakat dengan kesibukan menabur fitnah!

Orang jahil ini perlu segera melupakan perangkap liberalisme yang tidak berasas. Orang ini wajar membuka minda dan merenungi semangat Rahmatul Lil Alamin supaya momokan liberalisme tidak menzulmatkan hati dan akalnya. – 23 Ogos, 2018

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen