SABAH berdepan masalah kekurangan bekalan ikan dan kenaikan harga makanan laut selepas masalah syarikat perikanan tempatan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam di perairan negara gagal diselesaikan, kata sebuah organisasi bukan kerajaan.
Persatuan Pengail Sabah (SAA) berkata lesen syarikat terbabit perlu dibatalkan untuk menghalang kegiatan “mencuri” bekalan ikan Sabah daripada berlarutan.
Dakwaan itu timbul susulan penahanan 40 nelayan warga Vietnam antara Februari dan Julai tahun ini kerana pelbagai kesalahan termasuk menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Presidennya Wilfred Lingam berkata, melucutkan lesen syarikat tempatan yang terlibat akan menghalang perikanan tidak lestari. Ia juga mampu menghalang bekalan ikan Sabah daripada “dicuri” warga asing.
“Nelayan tempatan ini mengamalkan “ali baba” untuk mendapatkan keuntungan mudah dan cepat. Batalkan sahaja lesen mereka. Tiada apa yang istimewa dengan nelayan Vietnam yang tidak dapat nelayan kita lakukan. Tambahan pula, nelayan tempatan lebih tahu selok belok perairan Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lingam berkata, penggunaan kaedah yang dilarang untuk menangkap ikan seperti pukat tunda turut menyebabkan kemusnahan hidupan marin.
Timbalan ketua menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Yahya Hussin digesa mengambil langkah drastik bagi menghalang pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Katanya, Sabah juga perlu mempraktikkan cara kerajaan Indonesia memusnahkan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara itu.
“Langkah itu wajar dipertimbangkan,” katanya pada satu program baru-baru ini.
“Terpulang kepada pihak berkuasa maritim seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tentera laut dan polis marin untuk mempertahankan sempadan negara dan menghalang nelayan asing menangkap ikan secara haram di perairan negara kita,” katanya.
Namun, Presiden Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kota Kinabalu Simon Hong percaya perkara itu lebih rumit kerana nelayan Vietnam didakwa memiliki proksi untuk membenarkan mereka beroperasi di perairan Sabah.
Menurut Hong, apa yang menjadi masalah ialah lesen perikanan laut dalam hanya dikeluarkan kerajaan persekutuan.
Katanya, terdapat dua syarikat tempatan di Sabah yang memiliki peralatan serta lesen perikanan laut dalam dan mereka didakwa menjadi dalang di sebalik operasi bot nelayan Vietnam di perairan Malaysia.
“Dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 kapal nelayan Vietnam yang memiliki permit, manakala 20 hingga 30 buah lagi yang berkapasiti 150 tan datang merentasi Laut China Selatan dari Vietnam,” kata Hong kepada The Malaysian Insight.
Sabah dan Sarawak tiada hak untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam kerana bidang kuasa hak perairan diambil alih kerajaan persekutuan berikutan pengisytiharan darurat selepas 13 Mei 1969. Kedua-dua negeri itu hanya boleh mengeluarkan lesen bot berdaftar untuk menangkap ikan sehingga 30 batu nautika daripada pesisir pantai.
Kebanyakan bot nelayan Vietnam yang beroperasi menggunakan nombor pendaftaran Sabah hanya ditemui menangkap ikan di laut dalam. Tahun ini, nelayan tempatan mendapati hasil tangkapan mereka berkurangan hampir separuh berbanding sebelumnya.
“Di mana semua ikan itu?” Soal Hong dan berkata dia dan juga ahli persatuannya tidak pernah melihat nelayan Vietnam memunggah hasil tangkapan di jeti tempatan. Ini katanya menimbulkan persoalan sama ada hasil tangkapan nelayan terbabit dipunggah ke bot yang lebih besar di perairan antarabangsa.
“Kebiasaannya hasi tangkapan yang diperoleh mencecah 100 tan metrik sebulan, namun jumlah itu mula susut di bawah 50 tan metrik tahun ini yang menjadikan tahun paling buruk buat kami.
“Terdapat beberapa pengusaha bt nelayan menanggung kerugian walaupun harga bahan api stabil. Ia juga menyebabkan kenaikan harga ikan sehingga 60% sejak tiga bulan lalu,” kata Hong.
Kedua-dua NGO terbabit menggesa kerajaan negeri mengharamkan bt nelayan Vietnam.
Jabatan Perikanan juga menganggarkan negara akan kehilangan stok ikan pada 2048 berikutan penggunaan kaedah menangkap ikan yang diharamkan. – 29 Julai, 2017.
Komen