Musa Aman ditahan, permohonan reman ditolak


Jason Santos

BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor ditahan polis pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata permohonan reman terhadap Musa bagaimanapun ditolak Mahkamah Majistret.

“Musa ditahan pada jam 10 pagi. Polis memohon perintah reman tetapi ditolak majistret,” kata Ramli melalui mesej WhatsApp

Bekas pengerusi perhubungan Umno negeri itu mendaoatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya semalam sekitar jam 6.45 petang sebaik sahaja tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya, Selangor. 

Biliknya, suite VVIP dikawal ketat oleh kakitangan hospital yang menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki bilik berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dalam satu kenyataan memaklumkan Musa perlu mematuhi prosedur operasi standard polis ketika menerima rawatan. 

Beliau berkata, SOP itu memerlukan Musa dimasukkan ke hospital kerajaan untuk mengesahkan tahap kesihatannya oleh doktor awam, bukan swasta.

Katanya, pihak berkuasa juga mempunyai SOP bagi siasatan termasuk ketika dibawah perintah reman di mana beliau tidak boleh bertemu dengan sesiapa ketika proses tahanan.

Beliau sebelum ini menerima rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom dan meneruskan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk pembedahan pintasan jantung. 

Musa dikehendaki polis berikutan siasatan berhubung kes ugutan jenayah kerana didakwa mengugut Yang Di-Pertua Sabah Juhar Mahirudin. 

Beliau juga dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa memberi rasuah kepada Adun untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14. – 23 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen