Silap jika tidak bina lebuh raya baharu, kata pengguna jalan raya Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Projek lebuh raya Pan Island Link 1 yang dicadangkan itu akan menembusi kawasan bukit di Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2018.

MAJORITI penduduk di Pulau Pinang membantah cadangan pembinaan Lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1), termasuk beberapa persatuan sivil dan pencinta alam sekitar yang terkemuka.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk tempatan yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas setiap hari mengalu-alukan berita cadangan pembinaan lebuh raya bernilai RM7.5 bilion itu.

PIL1 sejauh 19.5km akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang, membolehkan pengguna jalan raya melepasi kebanyakan jalan dalam kawasan bandar yang sesak dan sempit.

“Jika anda tidak bina PIL1, masih akan ada banyak kereta di jalan raya pada masa depan dan kami akan mengalami kesesakan lebih teruk kerana tidak ada jalan baharu untuk kegunaan orang ramai,” kata penduduk Paya Terubong, Heng Meow Chong.

“Dengan PIL1, sekurang-kurangnya ada satu lagi jalan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di jalan-jalan sedia ada. Ini satu perkembangan yang baik untuk rakyat,” katanya.

Heng, yang membuka kedai membaiki televisyen bersebelahan Jalan Jalan Paya Terubong di mana persimpangan PIL1 dicadangkan dibina, berkata beliau percaya kerajaan negeri sudah pun mempertimbangkan semua kesan keselamatan dan alam sekitar.

Kira-kira 70% daripada enam lorong PIL1, yang juga komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), adalah terowong yang akan melintasi kawasan berbukit di Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara.

Seorang lagi penduduk Paya Terubong, Narinder Singh berkata beliau penat tersekat dalam kesesakan lalu lintas selepas waktu kerja, setiap hari.

“Saya ke bandar setiap hari untuk bekerja. Saya berdepan kesesakan lalu lintas, walaupun saya menunggang motosikal. Saya kasihan mereka yang memandu kereta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Narinder, 41, berkata kerajaan sepatutnya meneruskan komponen lain dalam PTMP seperti LRT dari Komtar ke Lapangan Terbang Bayang Lepas. – 23 Ogos, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen