KALANGAN aktivis dan pemimpin NGO masih tidak berpuas hati kerana dengan cara kepemimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal yang didakwa lambat membuat keputusan.
Mereka tidak berpuas hati kerana jawatan utama dalam institusi penting bawah kerajaan negeri masih belum dilantik selepas 100 hari mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Seorang pemimpin NGO antara lain membangkitkan mengenai Yayasan Sabah yang didakwa tidak lagi memberi biasiswa kepada pelajar dan jawatan pengarah yayasan itu juga masih kosong.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengenai jawatan pengarah Jabatan Air Sabah serta pelantikan ketua syarikat berkaitan kerajaan yang menurutnya kini masih belum dilantik.
Pemimpin NGO tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan berkata beliau tidak dapat memahami mengapa jawatan tersebut kosong selama ini.
“Saya dengar ada pihak yang disuruh menyerahkan resume mereka ke pejabat ketua menteri, dan akhirnya banyak pihak bersaing untuk jawatan itu. Ini tidak baik.
“Saya mengalu-alukan pandangan Shafie Apdal bahawa hanya profesional berkelayakan akan mengetuai jawatan ketua, tetapi jika anda tidak dapat mencari sesiapa, mengapa tidak iklankannya sahaja,” kata beliau.
Tegasnya rakyat mahu melihat tindakan dan mencadangkan agar kerajaan mencontohi langkah persekutuan dengan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan untuk membantu Shafie membuat keputusan.
Sementara itu aktivis sosial Michael Johnny percaya terdapat banyak isu boleh dibangkitkan NGO di Sabah tetapi ramai tidak bersuara sebagaimana berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Saya tidak menganggap NGO Sabah mengehadkan diri mereka, tetapi sebenarnya kumpulan Kuala Lumpur dikendalikan oleh pakar seperti peguam, doktor dan profesional yang mendedikasikan kehidupan mereka kepada isu sosial, mengabaikan profesion mereka sendiri.
“Saya tidak memandang rendah penduduk Sabah tetapi mereka di Kuala Lumpur akan membentuk NGO bagi hampir setiap isu. Mereka mampu menyesuaikan diri dengan apa yang diperjuangkan,” katanya. – 23 Ogos, 2018.
Komen