Seniman mesti berani kritik kerajaan, kata Pak Raja


Nabihah Hamid

penulis Raja Ahmad Aminullah berkata seniman tidak boleh cepat selesa dan melepaskan tanggungjawab mereka untuk menyuarakan kebenaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2018.

SENIMAN mesti terus bersuara dan berani mengkritik walaupun Malaysia sudah bertukar kerajaan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kata penulis Raja Ahmad Aminullah.

Katanya, seniman tidak boleh cepat selesa dan melepaskan tanggungjawab mereka untuk menyuarakan kebenaran.

“Seniman, penulis, budayawan dan intelektual seharusnya setia dengan kebenaran. Tugas seorang penulis dan seniman adalah untuk membongkar kesunyian kerana seorang penulis dan seniman tidak seharusnya mendambakan zon selesa.

“Seorang seniman pada pandangan saya, bukanlah seorang yang mengharapkan akan mendapat darjat, anugerah dan sebagainya. 

“Penulis harus bertanggungjawab untuk membantu proses pencerahan masyarakat,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Ahad lalu, Raja Ahmad melancarkan buku terbarunya bertajuk Percakapan dengan Raja Ahmad Aminullah: Kesetiaan Pada Idea, yang disempurnakan majlisnya oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Buku itu menghimpunkan siri wawancara dan dialog beberapa wartawan dengan Raja Ahmad yang menggali pemikiran penulis dan budayawan itu menyentuh isu-isu intelektual, kebudayaan dan sosio politik Malaysia.

Raja Ahmad sebelum ini pernah menerbitkan dua kumpulan puisi – Menyarung Jiwa dan Ketawalah, Tanahairku – serta buku esei Minda Tertawan.

Ahad lalu, Raja Ahmad melancarkan buku terbarunya bertajuk Percakapan dengan Raja Ahmad Aminullah: Kesetiaan Pada Idea, yang disempurnakan majlisnya oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2018.

Mengulas suasana selepas pilihan raya umum 9 Mei, Raja Ahmad berkata beliau melihat golongan penulis kini semakin berani dan terbuka.

“Sebenarnya ia tidak seharusnya begitu, sebelum ini juga harus berani, tetapi tidak apalah. Sekurang-kurangnya ada (kebebasan) sekarang apabila ada iklim baru ini,” katanya lagi. 

Beliau bagaimanapun berharap penulis akan memanfaatkan kebebasan yang ada untuk lebih berani menyelongkar kehidupan masyarakat di sekeliling mereka, hal-hal “yang nampak” dalam masyarakat.

“Saya menganggap penting untuk menulis hal-hal relevan yang nampak dalam masyarakat saya,” katanya.

Semasa pergolakan politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno dua dekad lalu, Raja Ahmad letak jawatan ahli lembaga pengarah Kumpulan Utusan Melayu Berhad selepas berlaga angin dengan kerajaan pada Jun 2001.

Laporan menyebut beliau didesak letak jawatan oleh Utusan selepas didakwa menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada masa itu dan setiausaha agung Umno, Khalil Yaakob.

Mereka dikatakan marah kerana beliau menggerakkan kempen menggesa kerajaan membenarkan Anwar Ibrahim menjalani rawatan tulang belakang di Jerman.

Raja Ahmad juga antara tokoh yang tampil bersuara membantah beberapa insiden tapisan karya seni oleh Balai Seni Negara serta tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meruntuhkan arca seni seniman negara Syed Ahmad Jamal. – 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen