Sektor pembuatan Malaysia jangka prestasi positif separuh kedua 2017


Looi Sue-Chern

SEKTOR pembuatan Malaysia dijangka lebih kukuh pada tempoh separuh kedua tahun ini berbanding enam bulan pertama 2017 didorong eksport dan jualan dalam negara yang bertambah baik, menurut Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM).

Keyakinan itu berpunca daripada prestasi lebih kukuh sektor itu dalam tempoh separuh pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada 2016.

“Jangkaan perniagaan mencatatkan peningkatan nilai indeks sebanyak sembilan mata: sementara jualan dalam negara meningkat dua mata dan eksport mencatatkan peningkatan 7.6 mata,” kata Presiden FMM Dr Lim Wee Chai.

Jualan sektor pembuatan meningkat 13.8% (Rm247 bilion) dalam suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas (RM217 bilion) menurut Jabatan Perangkaan Negara.

Sejak Januari sehingga April, jualan bulanan mencatatkan peningkatan antara 10.7% hingga 15.7% berbanding tempoh sama pada 2016. Pada Mei pula, jualan meningkat kepada 19.5% bernilai RM61.9 bilion, dibandingkan dengan RM51.8 bilion yang dilaporkan tahun lepas.

Menurut Kajian Persekitaran Perniagaan FMM-MIER (Institut Kajian Ekonomi Malaysia) untuk separuh kedua 2016, ada kebimbangan wujudnya jualan domestik yang lemah menyebabkan ahli FMM lebih berhati-hati dalam tempoh sama 2017. Hasil kajian itu dikeluarkan pada Mac tahun ini.

“Berdasarkan maklum balas awal kajian, prestasi sebenar separuh pertama 2017 lebih lemah berbanding separuh kedua 2016, dengan jualan dalam negara dan eksport mencatatkan nilai indeks yang lebih rendah.

“Tetapi kami menjangkakan prestasi eksport bertambah baik (selepas ini) dengan pengekalan momentum yang diperolehi sejak enam bulan lepas,” kata Lim kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.

Ekonomi global yang lebih baik

Lim juga merujuk kepada laporan “Economic Outlook” Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April 2017 yang mengatakan aktiviti ekonomi global sedang bertambah baik apabila kitaran ekonomi dalam pelaburan, pembuatan dan perdagangan semakin pulih.

IMF melaporkan yang pertumbuhan dunia dijangka meningkat kepada 3.5% pada 2017 berbanding 3.1% pada 2016.

“Aktiviti ekonomi global yang makin kukuh dan jangkaan lebih banyak permintaan global akan mempunyai kesan positif kepada ekonomi Malaysia, terutama dalam perdagangan.

“Satu lagi faktor penyumbang kepada jumlah jualan eksport yang semakin tinggi adalah ringgit yang makin lemah, yang jatuh kepada 6.7% berbanding dolar AS dalam tempoh berakhir Mei 2016 berbanding Mei 2017,” katanya.

Jumlah kecil tidak bermaksud kelembapan

Bagaimanapun, sektor pembuatan sudah diganti dengan sektor perkhidmatan sebagai sektor penyumbang utama kepada ekonomi.

Menurut keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara, sektor perkhidmatan kini adalah peneraju utama ekonomi Malaysia. Pada 2015, ia membentuk jumlah terbesar ekonomi sebanyak 53.5% sementara sektor pembuatan hanya menyumbang 23% kepada KDNK.

Jumlah pelaburan daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Malaysia (Mida) juga menunjukkan yang Malaysia mencatatkan pelaburan yang kurang dalam sektor pembuatan tahun lepas (RM58.5 bilion) berbanding 2015 bernilai RM74.69 bilion.

Bagi sektor pembuatan pula, jumlah pelaburan lebih mengalakkan, bernilai RM114.5 bilion pada 2015 dan RM141.2 bilion pada 2016.

Pendapatan daripada sektor perkhidmatan pada suku pertama 2017 adalah RM375.3 bilion, meningkat 8.3% berbanding tempoh sama pada 2016, menurut Jabatan Perangkaan Negara.

Penganalisis Kanan Penang Institute, Ong Wooi Leng mengatakan pelaburan yang kecil tidak semestinya bermakna prestasi sektor pembuatan mengalami “trend kuncupan” dan tidak sepatutnya dilihat sebagai halangan kepada pertumbuhan sektor itu.

Katanya, ia adalah trend ekonomi di negara maju juga, seperti Singapura yang mencatatkan penurunan AS$15 bilion (RM64.25 bilion) dalam pelaburan terus asing tahun lepas. – 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen