Sabah faham tindakan Putrajaya batal projek paip gas


Jason Santos

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata pembatalan itu pastinya dilakukan kerana kekangan kewangan dihadapi kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2018.

KERAJAAN Sabah hari ini mengalu-alukan keputusan Putrajaya membatalkan Projek Paip Gas Trans Sabah (TSGP) walaupun 88% kos projek sudah dibayar.

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata pembatalan itu pastinya dilakukan kerana kekangan kewangan dihadapi kerajaan persekutuan.

“Sudah tentu, kami mengalu-alukan keputusan (pembatalan) kerana kami sedar kesihatan kewangan negara dan hutang yang menimbun.

“Mungkin ketika ini projek itu tak boleh dilaksanakan. Siapa tahu, projek itu mungkin akan diteruskan bila kewangan kerajaan persekutuan sudah baik di masa depan,”kata Shafie kepada wartawan di Semporna, Sabah hari ini.

Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna pulang kawasan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha dan akan bertemu dengan masyarakat setempat esok.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan pembatalan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek paip gas, termasuklah TSGP yang dianugerahkan kepada syarikat China ketika lawatan rasmi ke negara itu.

TSGP diluluskan Kabinet Barisan Nasional pada 27 Julai 2016 bersama-sama Projek Paip Gas Pelbagai Produk, tetapi pelaksanaannya digantung kerajaan Pakatan Harapan pada 3 Julai tahun ini.

Penggantungan itu dilakukan selepas didapati yang hanya 13% projek disiapkan walaupun RM3.5 bilion atau 88% daripada kos keseluruhan RM4.06 bilion sudah dibayar.

Kedua-dua projek bernilai RM9.4 bilion itu dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline oleh syarikat milik Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

TSGP melibatkan pembinaan paip gas sepanjang 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau yang bermatlamat meningkatkan bekalan tenaga ke kawasan timur Sabah. – 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen