Sabah tak terima jika tawaran Putrajaya kurang dari tuntutan, kata Shafie


Jason Santos

SABAH tidak akan menerima jika Putrajaya menawarkan bayaran kurang daripada tuntutan 40% hasil cukai dan 20% daripada royalti minyak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata kerajaan Persekutuan hanya membayar kira-kira RM23 juta setahun daripada jumlah kutipan cukai dan levi dari Sabah sejak 1974, meskipun kutipan itu meningkat dengan banyak sejak 44 tahun dahulu.

“Tuntutan 40% hasil cukai mesti direalisasikan. Persekutuan sudah mengutip banyak cukai dan levi dari Sabah, tetapi kita tak pernah merungut. Kita tidak kisah kekayaan kita dikongsi dengan negeri lain.

“Kita cuma menuntut 40% daripada apa yang diambil dari kami,” kata Shafie pada satu majlis bersempena 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Warisan.

Berkenaan royalti minyak, ketua menteri itu berkata 20% daripada pengeluaran kasar itu adalah wajar kerana Sabah menghasilkan hampir 50% daripada pengeluaran minyak dan gas negara.

Beliau berkata, pada 2013 Putrajaya mengutip RM32 bilion dari Petronas, manakala Sabah menerima hanya RM7 bilion sedangkan ia menyumbang separuh daripada pengeluaran negara.

Aktivis menuduh Putrajaya gagal membayar hak pendapatan tahunan Sabah atau mengkaji semula pembayarannya sejak 1974 walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menyatakan semakan semula akan dijalankan setiap lima tahun antara kerajaan dengan kerajaan seperti yang termaktub di bawah pemberian khas dalam Bahagian VI Jadual Kesepuluh - 40% hak pendapatan. – 22 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen