Sambutan Aidiladha Najib di Pekan kurang meriah, tetap dirai penyokong


Kamles Kumar

Najib Razak selepas menunaikan solat Aidiladha pagi tadi di Masjid Sultan Ahmad di Pekan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Ogos, 2018.

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha di Pekan tahun ini sunyi berbanding tahun-tahun sebelum ini bagi ahli Parlimen kawasan itu yang juga bekas perdana menteri Najib Razak.

Selepas menunaikan solat Aidiladha pagi tadi di Masjid Sultan Ahmad yang baru saja dibina, Najib terus ke kediaman keluarganya, Seri Kenangan.

Berbaju Melayu merah jambu terang, Najib berdiri sendirian di luar kediaman, tanpa ditemani ahli keluarga mahupun rombongan penyokong setia seperti selalu.

Hanya kira-kira 30 orang penduduk setempat berkumpul di rumah Najib, yang juga menjadi pusat khidmat, untuk sama-sama menyembelih 10 ekor lembu sebagai ibadah korban.

Menurut penduduk di situ, jika tahun-tahun sebelum ini, jumlah lembu yang disembelih mencecah lebih 100 ekor malah pernah juga beberapa ekor unta dikorbankan.

Selepas mengagih daging kepada penduduk setempat, Najib segera balik ke Kuala Lumpur.

Perubahan ketara dalam sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini langsung tidak menjejaskan sokongan pengundi setianya yang tetap mempertahankan bekas perdana menteri itu yang dihadapkan dengan tuduhan rasuah.

“Beliau tolong rakyat di sini. Apa salahnya kalau kami beraya bersama-sama walaupun orang cakap buruk tentang beliau,” kata Mohd Fuzaimeea, seorang penyelia kilang kepada The Malaysian Insight.

Awal bulan ini, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beka sanak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan di mana pada 4 Julai lalu beliau dihadapkan dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa. Kesemuanya dikaitakn dengan SRC International.

Seorang lagi penyokong dari Pekan yang enggan dinamakan, berkata tuduhan terhadap Najib adalah fitnah dari kerajaan Pakatan Harapan yang sengaja mahu menjejaskan imej bekas presiden Umno itu.

“Ini semua fitnah. Mereka (Pakatan Harapan) hanya mahu rakyat benci Najib,” kata surirumah itu. – 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mungkin kediamannya nama Seri Kenangan, bukan Kembangan yg kat Serdang tuhhhh ;)

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Eris Jemadi Tajudin · Ulasan