Anwar sudah berkorban, usah bangkit lagi isu halang jadi PM


Zaim Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti dalam Pakatan Harapan sepatutnya mengisi kemenangan dengan bekerjasama dalam kerajaan baharu selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Kampung Pandan pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Ogos, 2018.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu dakwaan mengenai usaha menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri tidak lagi ditimbulkan

Tegasnya, tumpuan parti pada masa ini juga sepatutnya terarah pada usaha untuk mengisi kemenangan dengan bekerjasama dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

“Kita bercakap tentang korban. (Anwar) dah berkorban dan (melalui pelbagai halangan sebelum ini). Kita hendak mengisi kemenangan dan kemerdekaan

“Kita (bersama Dr. Mahathir) telah bersama membentuk kerajaan baharu, bukankah itu lebih penting?” soal Wan Azizah kembali ketika ditanya di satu acara sambutan Hari Raya Aidiladha pagi ini.

Beliau ditanya susulan permohonan maaf oleh calon pemilihan PKR, Abdullah Sani yang bertanggungjawab menimbulkan dakwaan berhubung usaha menyekat Anwar menjadi perdana menteri.

Abdullah semalam memohon maaf kepada Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa perdana menteri itu mendalangi konspirasi bersama penasihat kerajaan, Daim Zainuddin untuk menggagalkan rancangan peralihan kuasa kepada Anwar.

Abdullah menimbulkan dakwaan itu ketika bercakap kepada pemberita dan juga dalam ucapan kontroversinya semasa kempen pemilihan PKR bersama pasukan Reformasi 20 Tahun, minggu lalu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan, Wan Azizah hari ini berkata tuduhan berkenaan tidak sepatutnya timbul.

“Tuduhan-tuduhan tidak sepatutnya wujud, kita perlu membawa negara ke arah yang tepat,” katanya kepada media selepas solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Kampung Pandan pagi ini.

Beliau turut menggesa, rakyat Malaysia menghayati pengorbanan Hari Raya Korban dan Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lagi.

“Selepas 61 tahun, saya menyeru semua rakyat untuk bersama menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya,” tambah beliau. 

Terdahulu dalam ucapannya di surau tersebut Wan Azizah turut mengingatkan para jemaah untuk menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim. 

“Allah memuji sikap Nabi Ibrahim yang tulus dan tekun menyempurnakan pembinaan Kaabah dengan tenaga empat keratnya dan peralatan yang terhad,” ujar beliau. 

Ahli Parlimen Pandan itu menyertai ratusan jemaah lain menyempurnakan solat sunat. Sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan dalam acara di masjid berkenaan pagi ini. – 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen