TIADA guna rakyat mengangkat Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kalau PKR, parti tunjang kerajaan baru itu, kemudiannya jadi seperti Umno dan Barisan Nasional (BN) yang disingkirkan dari Putrajaya, kata Fuziah Salleh.
Calon ketua Wanita PKR itu berkata beliau dan pasukan Reformasi, yang diketuai Rafizi Ramli, bertanding dalam pemilihan parti bermula September ini kerana mahu menyelamatkan PKR dan PH daripada jadi seperti Umno dan BN.
Fuziah merujuk pada budaya angguk kepala mengiyakan tindakan pemimpin kerana budaya feudal yang menebal dalam Umno, yang diakui oleh beberapa pimpinan parti itu sejak selepas kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“(Kita ada) budaya tak berani cakap… pak turut. Itu semua budaya feudal. Bila kita hormat pemimpin dan sayang pada pemimpin kita harus sedia menegur,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
“Itu yang sedang dibawa oleh team yang mahukan agenda reformasi sebenar. Itu budaya feudal yang dibawa oleh Umno, BN dulu. Jadi kalau kita buat benda yang sama, kita tiada bezanya dengan mereka.
“Apa gunanya PH menjadi kerajaan maka kita akan cara yang sama, cara yang feudal,” tambah beliau.
Fuziah yang juga timbalan menteri agama mengingatkan semua ahli PKR agar berani menegur pemimpin parti, kalau mereka sayangkan parti dan perjuangan reformasi yang digerakkan sejak dua dekad lalu.
Ahli Parlimen Kuantan itu adalah calon ketua wanita dalam pasukan yang memakai slogan Reformasi 20 Tahun.
Fuziah berganding dengan Dr Rodziah Ismail, Adun Sementa, sebagai calon timbalannya. Mereka ditentang oleh regu Haniza Talha, Adun Lembah Jaya merangkap exco kerajaan Selangor dan Adun Batu Tiga, Dr Daroyah Alwi.
Rafizi yang mengetuai pasukan itu bertanding kerusi timbalan presiden mencabar penyandangnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Fuziah turut menyuarakan kebimbangan terhadap amalan kronisme yang berlaku dalam pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan, yang dikatakan berlaku di Selangor.
Katanya, perlantikan ahli majlis kerajaan tempatan perlulah mengambil kira kelayakan dan bukannya pilih bulu dalam kalangan mereka yang ada jawatan dalam parti.
“Katakan anda sudah berjuang lama dalam parti, mungkin tiada jawatan, tetapi anda faham perjuangan parti. Anda pegang prinsip parti. Anda ada kelayakan merit sebenarnya, walaupun tiada jawatan anda layak (jadi ahli majlis).
“Tapi kalau anda tak layak, tiada kemampuan tapi sebab pegang jawatan dan menang, anda jadi (ahli majlis), itu bukan agenda reformasi yang kita nak terus dalam parti,” katanya, yang tidak menamakan ahli majlis yang dimaksudkannya itu.
Sekurang-kurangnya dua pemimpin Pemuda PKR Selangor letak jawatan selepas mendakwa wujud amalan kronisme dan nepotisme dalam lantikan ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh beberapa pimpinan PKR pusat serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang menyifatkan tuduhan “PKR macam Umno” itu sebagai keluhan mereka yang kecewa dalam parti.
Dalam pada itu, mengulas langkah politiknya bertanding semula kerusi ketua wanita PKR – jawatan yang pernah disandangnya antara 2000 hingga 2007, Fuziah berkata beliau dapat sokongan padu daripada kalangan ahli dan bukan ahli parti, termasuk mereka yang menyokong Umno.
“Mereka lihat saya seorang aktivis, seorang pejuang. Bukan sahaja memperjuangkan wanita dan keluarga,” katanya.
Fuziah yang lantang membantah projek kilang nadir bumi Lynas di Kuantan berkata sebagai pemimpin sayap parti tunjang dalam kerajaan nanti, beliau akan memastikan wanita diberi tempat yang sewajarnya dalam agenda dan dasar negara. – 23 Ogos, 2018.
Komen