TINDAKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) “membersihkan” gelandangan di ibu kota disebabkan penganjuran Sukan Sea 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos ini adalah dakwaan tidak berasas, kata Kementerian Wilayah Persekutuan.
Timbalan Menteri Loga Bala Mohan menegaskan operasi tangkapan dibuat setiap minggu dalam usaha menyelamatkan mereka.
“Ini bukan proses membersihkan tetapi memberikan perlindungan sementara kepada mereka (gelandangan).
“Kita membantu mereka sejak tiga tahun lepas. Ini bukan perkara baru yang kita lakukan.
“Perkara ini dibuat sejak masalah (gelandangan) timbul,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Loga turut menolak dakwaan membersihkan gelandangan kerana arahan daripada Kabinet sebaliknya disebabkan keprihatinan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“KL sedang membuat persiapan untuk Sukan Sea, beberapa pembersihan dilancarkan di beberapa kawasan yang tidak teratur.
“(Penguatkuasaan dibuat) kerana prihatin dengan kawasan menjadi kebimbangan orang ramai dan bukannya mendapat arahan Kabinet untuk melakukannya.
“Kebajikan gelandangan adalah di bawah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), jadi DBKL hanya membantu daripada segi penguatkuasa dan logistik.
Temasya Sukan Sea 2017 akan bermula 19 hingga 30 Ogos ini akan melibatkan 4,888 atlet yang bertanding.
Membantu gelandangan
Berdasarkan pemerhatian DBKL setakat Mei lalu, terdapat 1,047 dikesan di ibu kota.
Loga berkata gelandangan yang “berumah” di kaki lima merupakan individu yang sama sejak beberapa tahun.
“Di sebabkan ia adalah orang yang sama, kita tidak boleh kenal pasti jumlah sebenar. Purata jumlah yang kita tangkap dengan kerjasama (pihak berkuasa lain) kira-kira 150 (orang).
“Pihak berkuasa akan membuat pemeriksaan. Jika mereka gagal dalam ujian air kencing (positif dadah) mereka akan diserahkan kepada AADK dan jika mereka tiada dokumen pengenalan diri, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Operasi turut melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen, katanya lagi.
DBKL juga menyediakan pusat sehenti di Jalan Pahang, Medan Tuanku and Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu untuk menempatkan gelandangan.
Gelandangan dibenarkan berlindung selama sebulan sementara mereka berusaha mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan.
Pusat berkenaan juga menyediakan tempat dan kemudahan mandi.

Selesaikan isu gelandangan
Mengakui isu gelandangan salah satu cabaran DBKL, Loga berkata langkah sudah di ambil sejak tiga tahun lalu.
“Kita tidak membuat sebarang tindakan kekerasan sebaliknya mengawal mereka. Kita juga sediakan pusat transit untuk mereka.
Pemilik premis di sekitar bandar juga mengadu bangunan mereka terkesan dengan kehadiran gelandangan yang didakwa berhijrah dari kampung.
Loga turut mendapati masalah gelandangan bertambah disebabkan NGO yang bersimpati memberikan makanan kepada mereka.
“Masyarakat perlu berhenti memberi mereka makanan,” kata Loga lagi.
Beberapa kawasan tumpuan gelandangan adalah Masjid Negara, Bangkok Bank, Jalan Tuanku Abdul Rahman and Jalan Hang Lekiu.
Loga berkata tindakan gelandangan tidur di kaki lima juga menyalahi undang-undang selain isu keselamatan.
“Pejalan kaki juga merasa tidak selamat dan kebersihan di kawasan sekitar terjejas selain mencemarkan kawasan banggunan.
“Ia jelas boleh dilihat sekitar Bangkok Bank yang terjejas perniagaan, waktu kerja dipendekkan dan banyak perniagaan berpindah ke tempat lain,” katanya lagi. – 29 Julai, 2017.
Komen