PERBINCANGAN hangat dijangka berlaku hujung minggu ini di Pulau Pinang apabila kumpulan masyarakat sivil vokal, Penang Forum mengadakan forum pelbagai bahasa selama dua hari untuk menjelaskan dan mengumpulkan mereka yang menentang Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
Mereka akan mempersoal, menyelidik dan mencadangkan alternatif kepada rancangan itu, yang melibatkan Pan Island Link 1 kontroversial yang akan menembusi bukit-bukit di pulau itu.
Penang Forum menjadi pengkritik PTMP paling lantang bersuara dan akan mengadakan sesi pertamanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris di Dewan Sri Pinang pada Sabtu dan dalam bahasa Cina di Persatuan Teochew Pulau Pinang pada Ahad.
The Malaysian Insight melihat terlebih dahulu isu ini menjelang forum yang bakal diadakan
Apakah PTMP?
Ia merupakan pelan bersepadu kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas penggunaan lebuh raya, jalan raya dan pengangkutan awam di Pulau Pinang.
Ia melibatkan Pan Island Link (PIL), Terowong Bawah Laut Pulau Pinang dan tiga jalan utama di pulau itu, serta menaik taraf jalan raya di tanah besar.
Cadangan pengangkutan awam darat melibatkan transit aliran ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas dan satu lagi menghubungkan pulau dan tanah besar; monorel meliputi Ayer Itam, Tanjung Tokong, Raja Uda dan Bukit Mertajam (di tanah besar); trem, dan bas Rapid Transit.
Terdapat juga satu projek kereta kabel (sky cab) yang menghubungkan pulau itu dan bakal siap hub pengangkutan Pulau Pinang Sentral.
Siapakah pihak terlibat?
Komponen lebuh raya PIL dan pengangkutan awam dijalankan oleh rakan pelaksanaan projek SRS Consortium, yang diketuai oleh Gamuda Bhd, salah satu syarikat infrastruktur terbesar di Malaysia.
Terowong dan tiga jalan utama yang dijalankan oleh Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, gergasi pembinaan China Railway Construction Corporation juga terlibat dalam pembinaan terowong tersebut.
Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) pula pihak bertanggungjawab bagi projek kereta kabel.
Bagaimanakah ia dibiayai?
Komponen lebuh raya PIL dan pengangkutan awam yang dijalankan SRS akan dibiayai oleh projek Penambakan Pulau Pinang Selatan.
Tiga pulau buatan manusia akan ditebus dari pantai selatan pulau, dan kemudian dilelong untuk membiayai projek. Kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan pinjaman mudah sebanyak RM1 bilion dari Putrajaya.
Terowong bawah laut dan tiga jalan raya yang dikendalikan Zenith dibiayai oleh perjanjian pertukaran tanah melibatkan tanah yang ditebus di Tanjung Tokong dan Persiaran Gurney.
Progres projek
Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) meluluskan tiga jalan yang akan dibina oleh Zenith - lencngan Tanjung Bungah-Teluk Bahang (Pakej 1), lencongan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Ayer Itam (Pakej 2) dan lencongan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Persiaran Gurney (Pakej 3).
Zenith dilaporkan berharap dapat memulakan kerja Pakej 2 pada suku pertama atau kedua 2019.
Bagi terowong bawah laut, kajian kebolehlaksanaan kira-kira 97% sudah siap.
Lebuh raya PIL masih menjalani penilaian awam EIA dengan tarikh akhir pada 7 September bagi semua maklum balas. Reka bentuk dan penjajaran lebuh raya masih tertakluk kepada perubahan.
LRT dari Komtar ke Bayan Lepas, kira-kira 30km panjang dengan 27 stesen, masih menunggu kelulusan kerajaan persekutuan.
Persetujuan untuk LRT juga bergantung pada kelulusan EIA serta kelulusan untuk projek penambakan. – 22 Ogos, 2018.
Komen