SEORANG daripada 10 pelajar sekolah menengah di Malaysia menghisap rokok, dengan Labuan, Sabah dan Sarawak mempunyai peratusan perokok remaja paling tinggi kerana kegiatan penyeludupan rokok yang berleluasa, kata pegawai Kementerian Kesihatan.
Wilayah Persekutuan Labuan di Sabah mencatatkan peratus pelajar sekolah menengah merokok paling tinggi (19.3%) diikuti Sabah (18.9%), Sarawak (17.7%) dan negeri-negeri lain, dedah Kajian Kesihatan Remaja 2017.
Kajian terbaru sejak yang terakhir pada 2012 dibuat antara Mac dan Mei 2017, melibatkan 27,497 pelajar dari 212 buah sekolah di seluruh Malaysia.
“Labuan tinggi kerana rokok-rokok seludup mudah didapati termasuklah di Sabah dan Sarawak,” kata Pengarah Institut Kesihatan Umum (IKU) Dr Tahir Aris kepada The Malaysian Insight, menjelaskan dapatan kajian tersebut.
Kajian gaya hidup remaja Malaysia itu mendapati daripada jumlah yang merokok itu, seorang daripada empat ialah pelajar lelaki dan hanya 5% pelajar perempuan. Laporan itu memberi amaran perhatian khusus perlu diberikan kepada remaja perempuan kerana trendnya bertambah sekali ganda sejak 2012.
“Kalau kita tengok dari segi trend, jumlah perokok dewasa nampak menurun tetapi trend kanak-kanak meningkat,” jelas Dr Tahir.

Laporan kesihatan remaja itu juga menarik perhatian kepada produk tembakau lain seperti shisha dan rokok elektronik yang menyebabkan peningkatan keseluruhan jumlah remaja antara 13 hingga 17 tahun yang terdedah kepada tembakau.
Satu kajian lain Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat lebih kurang 4.7 juta perokok di Malaysia, dengan kebanyakannya memulakan tabiat itu sejak di bangku sekolah.
Kajian kementerian juga menganggarkan lebih 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berpunca akibat rokok. Lebih 35% kematian di hospital juga dilaporkan kerana rokok yang jadi punca antaranya kanser, sakit jantung dan strok.
Secara keseluruhan, 13.8% peratus pelajar Malaysia merokok, jumlah yang tinggi berbanding remaja dalam lingkungan umur yang sama antara 13 hingga 17 tahun di negara-negara serantau yang lain seperti Thailand (10.4%) Filipina (11%), dan Indonesia (12.5 %).
Kajian berkala Kementerian Kesihatan itu juga mendapati pelajar Tingkatan Empat paling banyak merokok (15.3%) diikuti Tingkatan Tiga (14.3%), Tingkatan Lima (14.1%), Tingkatan Satu (12.8%) dan Tingkatan Dua (12.6%).
Dalam laporannya, IKU menjelaskan pemantauan amalan merokok dalam kalangan pelajar penting kerana kaji selidik tabiat merokok di Malaysia menunjukkan lebih 50% perokok dewasa mula belajar menghisap rokok semasa di bangku sekolah.
“Oleh itu, pemantauan penggunaan tembakau dalam dalam kalangan remaja Malaysia adalah proses penting kawalan tembakau,” kata laporan IKU itu, sambil memetik komitmen negara dalam konvensyen di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Kajian itu juga mendapati kebanyakan pelajar yang menghisap rokok terpengaruh daripada keluarga terdekat apabila 42.2 % pelajar berkenaan mempunyai ibu bapa atau penjaga yang juga merokok.
“Kalau kita tengok daripada segi trend, orang dewasa nampak menurun. Tapi trend kanak-kanak meningkat,” jelas Dr Tahir yang turut bimbang dengan trend tersebut.
Cuba alkohol sebelum umur 14 tahun

Kajian gaya hidup remaja itu juga mendapati seorang daripada lima pelajar antara Tingkatan 1 dan Tingkatan 5 pernah cuba minum arak manakala seorang daripada 10 masih lagi minum sehingga sekarang.
Daripada jumlah itu, 76% pernah mencuba minuman beralkohol sebelum berumur 14 tahun. Daripada jumlah itu juga, 22.9% melibatkan pelajar di bandar sementara 14.6% di kawasan luar bandar.
Menurut Dr Tahir, pihaknya tidak hairan dengan peratusan yang tinggi itu kerana sesetengah pelajar ini terdedah keluarga yang minum minuman beralkohol terutamanya semasa sambutan perayaan.
“Tetapi, sekiranya pengambilan minuman keras diamalkan ia akan membahayakan mereka,” jelas beliau.
Mengikut kajian, 38% pelajar terlibat mendapat bekalan minuman keras daripada keluarga di rumah, manakala 27% membelinya di kedai, dan 17% memperolehinya daripada rakan-rakan.
“Alkohol boleh membawa kepada ketagihan dan ia akan menjadi punca kepada kes-kes kemalangan, keganasan, dan penderaan,” tambahnya lagi.
Menurut Dr Tahir, dapatan kajian itu akan dijadikan asas oleh Kementerian Kesihatan untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan yang lain untuk mengenal pasti usaha-usaha menangani isu-isu yag dikenal pasti. – 22 Ogos, 2018.
Komen