PENGENDALI dapur jalanan di Kuala Lumpur menyuarakan kebimbangan tentang golongan gelandangan ibu kota kini yang memilih untuk terus berlapar kerana bimbang ditangkap, susulan peningkatan serbuan yang dilakukan menjelang Sukan Sea bulan depan.
Gelandangan yang mengunjungi pusat bantuan yang disediakan badan kebajikan semakin menurun, didakwa berpunca daripada tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melakukan serbuan bagi “membersihkan jalan raya ibu kota”.
Dapur Jalanan Kuala Lumpur berkata minggu lalu, hanya 90 orang yang mengambil makanan berbanding 200 orang seperti kebiasaannya.
Koordinatornya, Quratulain Atiqah berkata beliau menerima maklumat aktiviti “menyelamatkan” gelandangan DBKL dan JKM dibuat dengan lebih kerap.
Ia mungkin berkaitan dengan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) pada 19 Ogos ini.
““Kalau ikut maklumat daripada gelandangan Ahad lalu, selepas keluar arahan notis DBKL (tidak benarkan makanan diberikan selain dua tempat di KL), hampir setiap hari akan ada operasi tangkapan.
“Kebiasaan DBKL kerap kali sebegini (buat tangkapan) bila kita (Malaysia) akan terima tetamu luar. Contohnya macam (presiden Amerika Syarikat) Barrack Obama nak datang, memang mereka akan buat macam ni. Aktif buat tangkapan.
“Ada dua sebab iaitu sama ada (gelandangan) memang dah kena tangkap atau tidak berani nak keluar. Dan sekarang nak tidur mereka tidak akan tidur terang-terangan di kaki lima,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Loga Bala Mohan pemerhatian DBKL mendapati sehingga Mei ini terdapat 1,037 gelandangan dikesan di sekitar ibu kota.
“Secara purata jumlah gelandangan yang dikumpulkan dalam operasi bersama kira-kira 150 orang sebulan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, NGO Pertiwi Soup Kitchen yang memberikan makanan empat kali seminggu turut mengalami kemerosotan gelandangan yang datang mendapatkan bantuan seramai 200 orang.
Namun pengerusinya, Munirah Abdul Hamid berkata, ia mungkin juga berpunca daripada majlis rumah terbuka yang diadakan sempena Hari Raya.
“Akhir-akhir ini kurang orang (gelandangan) yang datang. Kalau sebelum ini dalam 750 bungkus dan baru-baru ini hanya 550 bungkus sahaja yang diambil.
“Mungkin disebabkan bulan raya, jadi ramai orang buat rumah terbuka. Ada maklumat saya terima, mereka tertumpu ke tempat lain kerana ada yang beri sumbangan seperti duit raya.
“Sama ada (tangkapan) dibuat disebabkan itu (Sukan Sea) saya tidak pasti, saya akan cuba periksa dengan pihak DBKL,“katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Gelandangan tidur tak lena
Beberapa gelandangan yang ditemui di KL menyuarakan keresahan mereka kerana tidak mahu ditangkap pihak berkuasa.
Shaliza Ahmad, 39, mengakui takut untuk tidur secara terbuka di kaki lima bersama suaminya.
“Saya dan suami tidur merata-rata. Sekarang ini hendak tidur pun takut-takut. Kami nampak sahaja DBKL kami lari lintang pukang,” kata Shaliza Ahmad yang “berumah” di kaki lima sejak tiga tahun lalu.
Begitu juga dengan Pang Yoke Kong, 60, enggan ditangkap kerana mahu mengumpul duit untuk pulang ke Kampung.
“Saya sini kerja jaga parking. Kadang-kadang orang bagi duit. Saya kena kumpul duit dulu baru boleh balik kampung di Kuantan.
“Saya tidur di mana-mana,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight sambil menunjukkan ruang kaki lima, tempat dirinya berteduh hampir dua tahun.
Sementara itu, seorang majikan yang hanya mahu dikenali sebagai Ong kesal kerana tangkapan yang dibuat terhadap pekerjanya.
“Saya sudah pergi ke pusat tahanan. Pekerja saya ada disana hanya boleh lawat. Ada dua orang tidak boleh keluar.
“Mereka adalah gelandangan yang saya ambil pekerja sambilan untuk jadi buruh binaan. Dulu mana ada selalu mahu tangkap, sekarang mahu Sukan Sea mereka mahu ‘bersihkan’ KL,” katanya yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasa itu.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan reaksi JKM dan DBKL mengenai dakwaan tersebut.
Satu tinjauan cuba dilakukan di Pusat Sehenti Bina Diri Sungai Buluh dibawah JKM, namun tidak dibenarkan masuk.
Menurut pegawai yang dihubungi melalui talian telefon, kebenaran bertulis JKM diperlukan sekiranya mahu mengunjungi tempat berkenaan. – 29 Julai, 2017.
Komen