PROJEK Insinerator Kepong akan ditangguhkan serta-merta selepas perjumpaan dengan kumpulan Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Menurut Zuraida, terdapat salah faham antara kementeriannya dan jawapan balas Timbalan Menteri KPKT Raja Kamarul Bahrin di Parlimen sehari selepas perjumpaan dengan kumpulan tersebut.
“Ya, ia ditangguhkan,” katanya apabila diminta pengesahan status projek insinerator tersebut.
“Saya rasa ia dijawab oleh timbalan saya. Jadi (ia mungkin) disebabkan dia tak tahu mengenai perkembangan (projek itu).
“Apa-apa pun jawapannya, kita inginkan projek itu dalam KIV (dalam penelitian). Projek itu akan diteliti semula, apa alternatifnya, apa jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah sampah di Kepong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kempen Kibar Jalur Gemilang kawasan Parlimen Ampang di Kuala Lumpur hari ini.
Minggu lalu, pengerusi KTI meluahkan kekecewaanya dan menuntut penjelasan Zuraida berhubung kenyataan KPKT di Parlimen yang memutuskan untuk meneruskan projek tersebut walaupun selepas menerima memorandum KTI.
Ahli Parlimen Ampang itu turut menjelaskan bahawa Raja Kamarul tidak mendapat makluman terkini mengenai status projek tersebut kerana kekangan masa sehingga mewujudkan salah faham. – 21 Ogos, 2018.
Komen