Zuraida harap Abdullah Sani tak ulang kesilapan sama


Yasmin Ramlan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memasang bendera pada motosikal polis semasa majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Ampang di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Ogos, 2018.

PENYANDANG ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid atas permohonan maaf yang dibuatnya terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah Sani sebelum ini menuduh perdana menteri dan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin merancang untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri kelapan.

Dengan permohonan maaf itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berharap Abdullah Sani tidak lagi mengulangi kesilapan sama.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau yang membuat kenyataan akhbar untuk minta maaf.

“Jadi saya harap dia tak ulang lagi perkara sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat setelah Anwar memanggil Abdullah Sani semalam dan memberi jaminan bahawa Dr Mahathir komited untuk melaksanakan konsensus Pakatan Harapan (PH) iaitu presiden PKR itu akan menggantikan tempat perdana menteri dalam tempoh dua tahun. 

Apabila ditanya sama ada Abdullah Sani juga perlu memohon maaf kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, beliau menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin.

“Itu saya tak tahu apa tindakan jawatankuasa disiplin.

“Kalau perlu berbuat begitu, kenalah buat,” katanya. – 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen