Kebencian terhadap transgender makin menjadi-jadi, kata aktivis


Melati A. Jalil

KATA-KATA kebencian terhadap transgender semakin bertambah sejak dua minggu lalu, serentak dengan berita dan media sosial yang bercakap tentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengasas Bersama Justice for Sisters Thilaga Sulathireh berkata kumpulan itu menerima 10 hingga 15 aduan berkenaan hal itu sejak topik hak LGBT dilaporkan oleh media dan dibincangkan di media sosial.

Tanpa memetik mana-mana insiden tertentu, Thilaga berkata topik itu menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini susulan laporan pada 5 Ogos lalu, berkenaan arahan potret aktivis transgender Nisha Ayub dan aktivis LGBT Pang Khee Teik diturunkan daripada satu pameran fotografi di Pulau Pinang.

Selepas liputan berita itu semakin meluas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk hal ehwal agama, Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan pertemuan dengan Nisha bagi mencari jalan penyelesaian.

Beberapa menteri lain dan tokoh terkenal turut membuat pelbagai kenyataan tentang LGBT, dengan sesetengahnya mencetuskan lebih banyak kemarahan.

“Gambar mereka (masyarakat LGBT) didedahkan dan disebarkan di atas talian tanpa kebenaran dan mereka menerima kata-kata benci, ganas dan menghina sama ada menerusi mesej peribadi atau e-mel.

“Sesetengah wanita transgender berdepan dengan kes lama mereka dibuka semula. Kami juga menerima aduan tentang isu kesihatan mental. Aduan ini disalurkan kepada kumpulan lain seperti Pelangi, Seksualiti Merdeka dan Seed,” kata Thilaga, merujuk kepada NGO lain yang membantu LGBT.

Tahun lalu, Justice for Sisters merekodkan 12 kes jenayah kebencian terhadap masyarakat transgender.

“Bila anda dapat maklumat tidak tepat, ada stigma, diskriminasi, ia akan menyebabkan anda sewenang-wenangnya mengambil tindakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Baru-baru ini, seorang wanita transgender diserang oleh sekumpulan lapan lelaki di Negeri Sembilan. Mangsa mengalami kecederaan dalaman, beberapa tulang rusuknya patah dan cedera di bahagian belakang serta menerima 12 jahitan.

“Keganasan semakin teruk kerana konteks kehidupan kita sekarang di mana kita berdepan dengan maklumat yang tidak tepat dan stigma, dan semua itu menyebabkan masyarakat mengalami fobia terhadap masyarakat LGBT,” kata Thilaga.

Beliau berkata kerajaan memberikan isyarat yang bercampur kepada masyarakat itu, dengan ada kalanya nampak seperti mengambil berat terhadap deraan yang mereka terima tetapi pada masa lain, gaya hidup mereka tidak boleh diterima.

“Sesetengah kenyataan menteri dilihat sebagai positif kerana mereka kata masyarakat LGBT tidak patut didiskriminasikan, tetapi sebaliknya mereka juga berkata perkara tentang LGBT di atas talian akan dipantau,” katanya.

Ada juga kenyataan pihak berkuasa yang tidak membantu, contohnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang berkata transgender patutnya menggunakan tandas awam untuk OKU.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin juga berkata jika air kencing keluar dari organ lelaki, transgender perlu guna tandas lelaki, begitu juga jika ia keluar dari organ perempuan, pergi ke tandas perempuan.

Thilaga berkata mereka yang berdepan diskriminasi itu takut untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana mereka tidak mempercayai agensi penguatkuasaan.

“Mereka rasa membuat aduan tidak berguna kerana ada Jakim atau SKMM memantau kami,” katanya.

Pemimpin DAP Hannah Yeoh dan Syahredzan Johan baru-baru ini melawat wanita transgender yang dipukul lapan lelaki di hospital Negeri Sembilan dan mengeluarkan kenyataan bersama mendesak serangan dan penderaan fizikal terhadap masyarakat LGBT dihentikan. – 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen