PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak bertanya kepada China tentang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho yang dikhabarkan sedang “bersembunyi” di republik itu.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata beliau merasakan Low atau lebih popular dengan nama Jho Low, “mungkin ada di China”.
Dr Mahathir turut berseloroh akan menggari Low jika berada di sebelahnya.
“Saya tidak tanya pada China apa-apa tentang Jho Low, tapi saya fikir dia mungkin ada di China. Itu khabar angin yang saya dengar.
“Orang ini sangat licik. Saya diberitahu dia ada banyak pasport. Macam semua penjahat, dia ada pasport (yang membolehkannya) ke mana-mana saja,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pagi ini di China, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook RTM.
Low dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia dan beberapa negara lain berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd.
Beliau dituduh menjadi dalang di sebalik penyelewengan berbilion ringgit dana milik syarikat tersebut.
Pasport Malaysia milik Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada Jun, namun ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu tetap sukar ditangkap.
The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini melaporkan bahawa Low diberi pelindungan oleh China dan menginap di hotel serta kondominium mewah di beberapa bandar negara itu.
Low bagaimanapun menafikan laporan tersebut, dan mendakwa Dr Mahathir adalah dalang di sebalik khabar angin tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau percaya khabar angin bahawa China sedang melindungi Low, Dr Mahathir kata tidak tahu.
“Orang cakap banyak benda. Mereka perlu tunjuk bukti.”
Low turut membidas Dr Mahathir dan pentadbirannya selepas Malaysia merampas kapal pesiar mewah Equanimity, yang merupakan salah satu aset, termasuk lukisan, barang kemas dan hak cipta filem yang keseluruhannya berjumlah AS$1.7 bilion (RM6.9 bilion), yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.
Kapal pesiar mewah itu, yang dikatakan bernilai RM1 bilion dan dimiliki Low, dirampas oleh Indonesia dengan kerjasama pihak berkuasa AS pada Februari lalu. Ia diserahkan kepada Malaysia atas permintaan Dr Mahathir kepada Presiden Jojo Widodo.
Pada sidang media, Dr Mahathir berkata kerajaan bercadang untuk menjual Equanimity.
“Dia ada pasport untuk bergerak ke mana-mana tetapi dia (Low) tak boleh guna Equanimity sekarang.
“Jika di mahu, dan menuntutnya, sila datang ke Malaysia dan buat tuntutan di mahkamah Malaysia.”
Ketika ditanya apa yang akan dilakukan beliau jika Low duduk di sebelah beliau, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “saya akan gari dia.” – 21 Ogos, 2018.
Komen