RAFIZI Ramli tidak akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden PKR memandangkan prestasi beliau sebagai setiausaha agung yang tidak memuaskan, kata calon ketua sayap wanita, Haniza Talha.
Antara kelemahan ketara Rafizi semasa jadi setiausaha agung PKR ialah soal pentadbiran parti melibatkan sistem pendaftaran ahli, katanya.
“Saya tengok dia pernah menjawat jawatan setiasaha agung. Dalam tempoh jadi setiausaha agung dia tak berjaya menyelesaikan masalah keahlian keanggotaan parti,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
“Jadi kalau setiausaha agung pun dia tak boleh (pegang) tanggungjawab itu, nak jadi timbalan presiden saya rasa tak boleh. Di bawah setiausaha agung terletaknya (tugas) daftar ahli.
“Sehingga sekarang (keahlian) masih ada masalah. Ada ahli telah keluar masih ada berdaftar sebab ramai yang keluar masuk parti,” katanya.

Rafizi meletakkan jawatan setiausaha agung pada November 2016 dua tahun selepas mengambil alih tugas itu daripada Saifuddin Nasution Ismail. Beliau digantikan oleh Saifuddin yang masih memegang jawatan itu sehingga sekarang.
Rafizi mengumumkan perletakan jawatannya susulan hukuman penjara 18 bulan selepas disabitkan tuduhan jenayah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Pada pemilihan PKR yang akan bermula pengundiannya pertengahan bulan depan, Rafizi mencabar Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden sejak 2010. Beliau membariskan pasukannya yang mewakili Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta sayap Pemuda dan Wanita, dengan slogan Reformasi 20 Tahun.
Menurut Haniza, kempen pasukan Rafizi yang bersifat negatif membayangkan kumpulan itu terdesak mahukan jawatan.
“Memang ini pemilihan selepas kita menang Selangor dan kerajaan Persekutuan. Tapi bagi pihak kami, tidak sampai macam itu.
“Saya tak pasti sebab (Rafizi) yang bertanding timbalan (presiden) sebab dia tidak memegang jawatan kerajaan. Mungkin dia rasa terpaksa buat sesuatu,” kata Haniza yang juga exco perumahan dan kehidupan bandar kerajaan Selangor.
Haniza yang menyokong Azmin sebagai timbalan presiden memilih Adun Sementa Dr Daroyah Alwi sebagai regunya. Mereka berdepan pasangan Fuziah Salleh, timbalan menteri agama dan Dr Rodziah Ismail, Adun Batu Tiga.
Dalam pada itu, Haniza menyeru ahli PKR supaya membuat keputusan bijak pada pemilihan nanti dengan mengangkat kepimpinan yang mempunyai semangat berpasukan dan yang memberi ruang kepada barisan pelapis.
“Saya nampak pertama sekali dia mesti team player, kerja berpasukan. Tak boleh diktator ataupun autokratik. Yang kedua, mesti beri peluang kepada pimpinan lain untuk sama-sama naik.
“Beri peluang, jangan halang mereka untuk naik. Sebab pemimpin yang baik melahirkan pemimpin yang lain,” katanya.
Haniza turut menjelaskan barisan sayap wanita yang bersamanya mempunyai 60 peratus wanita berumur di bawah 40 tahun.
“Saya ambil orang muda tapi tak juga meninggalkan yang lama,” katanya lagi. – 21 Ogos, 2018.
Komen