Dapatkan bukti kukuh untuk heret pesalah rasuah, kata Daim


Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Najib Razak setakat ini didakwa atas tujuh tuduhan melibatkan kes pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa yang berkait rapat dengan SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018.

RAKYAT Malaysia perlu memberi masa kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes rasuah melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu, kata Daim Zainuddin.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata, Putrajaya perlu mengumpulkan bukti kukuh bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat apabila kes terbabit mula dibicarakan.

“Semua pihak tidak sabar tetapi kita memerlukan bukti kukuh. Kerajaan akan menanggung kesan buruk jika gagal menyabitkan kesalahan mereka.

“Jika mahu mendakwa, kita perlu memastikan 90% boleh memenangi kes tersebut, jika tidak, jangan membazir wang rakyat,” katanya pada satu sidang media di Menara Ilham hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis kini mensasarkan beberapa individu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya fikir keutamaan buat masa ini adalah memastikan individu yang disasarkan agar disiasat. Setakat ini bekas perdana menteri telah disiasat,” katanya.

Katanya lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan atau didakwa.

“Kita perlu mengambil keterangan daripada saksi (untuk pendakwaan),” katanya.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat SRC International.

Bekas presiden Umno itu kini berdepan tujuh tuduhan. Empat tuduhan awal yang dikemukakan pada 4 Julai lalu membabitkan tiga tuduhan pecah amanah dan satu dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Kesemua tuduhan itu berkait rapat dengan SRC International. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen