Daim minta rakyat bersabar dengan Pakatan


Kamles Kumar

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berkata rakyat harus bersedia untuk menerima bahawa tidak semua dasar baharu yang diperkenalkan Pakatan Harapan adalah popular. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Ogos, 2018.

RAKYAT Malaysia perlu bersabar dan membenarkan kerajaan baharu menyelesaikan keadaan kewangan negara yang teruk, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin.

Daim berkata, rakyat harus bersedia untuk menerima bahawa tidak semua dasar baharu yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) adalah popular.

“Tiada kaedah pantas untuk memulihkan masalah yang telah dikenal pasti Majlis dan masih ada banyak lagi cabaran.

“Kerajaan dan rakyat perlu bersedia untuk membuat dan menerima keputusan sukar demi manfaat jangka panjang negara,” beliau memberitahu pemberita pada sidang akhbar di Menara Ilham hari ini.

Jelas bekas menteri kewangan itu, kedudukan kewangan negara kini dalam keadaan teruk dan memerlukan masa untuk pulih.

“Ia berada dalam keadaan yang teruk. Kedudukan kewangan bukan dalam keadaan baik. Rakyat perlu bersabar sementara kerajaan memulihkannya.

“Hasilnya, hasil pendapatan lebih baik berbanding tahun lepas. Rakyat lebih bersedia membayar cukai sekarang. Kutipan bertambah baik. Ini petanda bagus, rakyat menunjukkan keyakinan terhadap kerajaan,” kata Daim.

“Saya mahu rakyat sokong kerajaan, bersabar. Teruskan menyokong dan biar kerajaan bersatu dan bekerja.

“Kerajaan perlu bersatu untuk satu tujuan, iaitu memulihkan ekonomi. Itu yang saya harapkan dari rakyat,” kata beliau. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen