MAJLIS Penasihat Kerajaan melahirkan rasa terkejut apabila menyedari tahap kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap negara sebelum diambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berkata beliau kecewa dengan kerosakan yang ditinggalkan oleh pentadbiran BN selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Jujurnya, kami tak sangka tahapnya teruk semacam ini. Kami benar-benar kecewa apabila mendapat tahu tahap kerosakannya. Majlis menyedarinya selepas hari pertama lagi,” kata Daim pada sidang akhbar di Menara Ilham hari ini.
“Kami kecewa kerana orang yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi negara telah menghampakan kita,” tambah beliau.
Menurut bekas menteri kewangan itu lagi, kesilapan yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini tidak harus diulangi di Malaysia Baharu.
“Masalah seperti pembaziran, projek mega yang tidak bermanfaat, skandal kewangan seperti 1MDB… tidak boleh berulang lagi,” kata Daim.
Menurut Daim Malaysia harus mempromosikan pelaburan asing bagi meningkatkan ekonomi dan lebih banyak pekerjaan dicipta.
“Kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan asing tetapi ia harus menguntungkan negara dan pelabur juga mendapat untung. Lebih-lebih lagi dalam mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Mandat Majlis Penasihat selama 100 hari berakhir semalam. – 20 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen