Ketua polis daerah Sabah turut ganggu orang awam, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis kini melancarkan siasatan terhadap kes seorang ketua polis daerah Sabah melakukan gangguan seksual terhadap orang awam termasuk beberapa orang pegawainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018.

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan seorang ketua polis daerah Sabah telah melakukan gangguan seksual terhadap orang awam termasuk beberapa orang pegawainya.

Fuzi berkata polis kini melancarkan siasatan terhadap kes berkenaan. Beberapa laporan juga telah dibuat terhadap suspek yang masih belum dipindahkan.

“Ya, ada yang betul dalam laporan itu. Kami memandang serius perkara ini.

“Beberapa laporan telah dibuat terhadapnya. Dia bukan saja mengganggu pegawainya tetapi juga kakitangan di balai polis, termasuk orang awam,” kata Fuzi.

Beliau berjanji akan mengambil “tindakan tegas” jika pegawai kanan itu didapati bersalah.

Menurut laporan Malaysiakini, pegawai kanan di Sabah itu kini dalam proses pemindahan susulan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap enam pegawianya dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Portal itu melaporkan bahawa ketua polis daerah yang sudah berkahwin itu sering menghantar mesej berbaur lucah kepada mangsa dan mengajak mereka ke bilik hotel dengan alasan untuk berbincang. 

“Salah seorang mangsa telah diminta supaya datang ke sebuah hotel untuk perbincangan. Ketua polis itu mengarahkannya untuk meneruskan perbincangan di dalam bilik hotel.

“Mangsa tidak syak apa-apa. Tetapi di dalam bilik, ketua polis daerah itu cuba mencium pipinya dan menyentuh kemaluannya. Bagaimanapun, mangsa menolak dan tinggalkan hotel,” kata sumber dipetik Malaysiakini.

Sumber itu juga mendakwa pegawai itu meraba beberapa mangsa dengan memasukkan tangan ke dalam seluar mereka.

“Jika mangsa melawan, beliau akan bersikap dingin terhadap mereka dan tidak memasukkan mereka dalam aktiviti di ibu pejabat polis daerah,” tambahnya. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen