Musa Aman tidak akan pulang hari ini, kata Bukit Aman


Alfian Z.M. Tahir

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman tidak akan pulang ke tanah air pada hari ini seperti dilaporkan sesetengah pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018.

POLIS Bukit Aman menafikan laporan yang menyatakan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman akan pulang ke negeri itu hari ini.

Sebaliknya, Bukit Aman berkata pihaknya telah bertemu dengan Musa dan menasihati beliau untuk kembali ke tanah air secepat mungkin.

“Tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan kembali pada hari ini. Saya tidak pasti tetapi saya percaya beliau akan pulang tidak lama lagi,” kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Haron kepada The Malaysian Insight.

“Jika saya kata beliau pulang pada hari ini tetapi perkara itu tidak berlaku, nanti saya akan digelar penipu. Kami telah menghantar anggota untuk bertemu dan menghubungi Musa tetapi beliau tidak akan pulang pada hari ini,” katanya. 

Fuzi enggan mendedahkan lokasi Musa tetapi beliau berharap bekas pemimpin itu kembali ke tanah air secara sukarela.

“Lokasinya tidak penting. Kita berharap beliau akan kembali secara sukarela dan tidak perlu menghantar polis untuk mengiringinya,” kata Fuzi.

Musa yang menghilangkan diri sejak 14 Mei dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah yang difailkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Musa sebelum ini mengaku berada di Britain, menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan kejadian yang berlaku pada malam 10 Mei ketika beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

“Saya menerima banyak maklumat dan laporan sejak beberapa hari ini yang menyatakan saya meninggalkan Malaysia secara tidak sah atau memasuki Britain secara haram.

“Malah ada mendakwa saya menjadi buruan dan sengaja tidak mahu menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

“Semua ini tidak benar. Saya percaya beberapa laporan sengaja direka dengan niat untuk memalukan atau menjatuhkan saya atas tujuan politik,” kata Musa menerusi kenyataan yang dibacakan oleh pegawai akhbarnya, Awang Faisyal.

Sejak semalam, terdapat laporan mengatakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu akan mendarat di Singapura sebelum memasuki Malaysia menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

“Musa Aman yang bersembunyi atas alasan mendapatkan rawatan perubatan, akan dibawa pulang ke Malaysia esok (Isnin).

“Pihak media akan mengemaskini perkembangan semasa berhubung perkara ini.

“Masa ketibaan dan lokasi Musa Aman mendarat akan didedahkan berdasarkan maklumat lanjut,” demikian mesej yang tersebar dalam media sosial sejak semalam.

Musa perlu mengangkat sumpah sebagai Adun dalam tempoh tiga bulan selepas sidang pertama DUN pada 11 Jun lalu. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen