Sabah tubuh jawatankuasa khas bangunkan industri berasaskan kayu


Jason Santos

Menteri Industri dan Perdagangan, Wilfred Madius Tangau berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk membangunkan industri perkayuan di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018.

SABAH menubuhkan pasukan khas untuk membangunkan industri berasaskan kayu yang jauh ketinggalan ekoran terlalu banyak mengeksport kayu sebelum ini.

Menteri Industri dan Perdagangan Wilfred Madius Tangau berkata Sabah perlu melakukan banyak perkara bagi membangunkan semula industri perkayuan dan kerajaan menguatkuasakan larangan mengeksport kayu pada Mei lalu.

“Buat masa ini, industri yang berasaskan kayu hanya menyumbang kira-kira 7.5 peratus atau sekitar RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) Sabah.

“Jumlah ini amat sikit,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penubuhan jawatankuasa Persatuan Industri Kayu Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Industri perkayuan mempunyai potensi besar, kata Tangau sambil menyatakan nilai kayu yang diproses di Semenanjung Malaysia dianggarkan RM22 bilion.

Segmen perabot sahaja bernilai RM6 bilion, jumlah yang menyamai GDP Sabah.

Katanya, kerajaan perlu memainkan peranan untuk membina infrastruktur, meningkatkan operasi pelabuhan dan menyediakan insentif sebagai usaha membantu pemain industri membangun, sekali gus menghidupkan kembali industri perkayuan.

Tangau berkata kementeriannya sudah mengenalpasti semua cabaran yang perlu dihadapi termasuk operasi pelabuhan yang perlu dipertingkatkan oleh kerajaan.

“Kerajaan akan memastikan segalan tindakan diambil untuk membolehkan proses itu berjalan lancar dan kita mahu membangunkan pelabuhan yang beroperasi selama 24 jam di kawasan timur Sabah seperti di Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

“Pembangunan ini tidak tertakluk kepada eksport kayu sahaja tetapi semua sumber asli lain termasuk getah, minyak sawit, petroleum dan gas. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen