Kementerian Pengangkutan belum capai keputusan mengenai RFID


Yasmin Ramlan

Kementerian Pengangkutan belum memutuskan untuk melaksanakan kaedah pembayaran automatik melalui sistem pengenalan frekuensi radio (RFID) di semua lebuh raya utama di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018.

KEMENTERIAN Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan kaedah pembayaran automatik melalui sistem pengenalan frekuensi radio (RFID) di semua lebuh raya utama di Malaysia, kata menterinya Anthony Loke.

Beliau berkata kaedah baharu sebagai ganti kepada sistem kad prabayar sedia ada hanya akan dilaksanakan sepenuhnya selepas ketetapan muktamad dibuat mengenainya.

“Belum ada keputusan mengenai RFID. Bila kita dah buat keputusan kita akan mulakan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Touch ‘n Go Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan akan memulakan ujian sistem RFID mulai 3 September ini sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Ujian projek perintis itu dibuat di lebuh raya di Lembah Klang melibatkan kenderaan Kelas 1 iaitu kereta penumpang, van, pikap dan pacuan empat roda dengan pendaftaran peribadi. Menurut Touch ‘n Go, pada masa ini terdapat 16 lebuh raya yang dilengkapi dengan sistem RFID.

Sistem ini menggunakan pelekat dengan cip frekuensi radio yang dipasang pada kenderaan dan dihubungkan dengan aplikasi Touch ‘n Go Wallet.

Touch ‘n Go dalam kenyataannya baru-baru ini juga memaklumkan tidak lagi akan menjual peranti SmartTag bermula 8 Ogos lalu. Peranti sedia ada Touch ‘n Go dan MyKad bagaimanapun masih boleh dipakai untuk membayar tol.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 berjanji akan menghapuskan tol secara berperingkat.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Baru Bian bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk kerajaan menghapuskan tol terutama dalam keadaan kewangan negara pada masa ini kerana ia akan melibatkan kos sehingga RM400 bilion. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen