KEMENTERIAN Pendidikan berdepan kritikan daripada MCA hari ini kerana tidak mempercepatkan usaha pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Kritikan itu dilontarkan oleh Senator Ti Lian Ker terhadap kementerian itu menangguhkan pengiktirafan UEC iaitu peperiksaan untuk sekolah-sekolah persendirian Cina dan mungkin diikfiraf oleh universiti awam berdasarkan kajian pihak kementerian.
Ti yang merupakan jurucakap publisiti MCA, mempertikaikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap sokongan masyarakat Cina dan meminta penjelasan berhubung kenyataan terdahulu daripada Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang menyatakan tempoh untuk pengiktirafan UEC akan mengambil masa sehingga lima tahun.
“UEC diiktiraf di Sarawak… Jika membuat janji dalam manifesto pilihan raya, anda perlu memenuhinya selepas mendapat mandat. Tindakan ini tidak jujur dan tidak menghormati kehendak rakyat,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menafikan kenyataan Maszlee bahawa kerajaan PH memerlukan masa lima tahun untuk mengiktiraf UEC.
“Beliau (Maszlee) berkata pengiktirafan UEC bukan sebahagian 10 janji manifesto dalam 100 hari. Beliau berkata tempoh untuk merealisasikannya akan mengambil masa lebih lama.
“Saya mahu mengingatkan anda semula bahawa pengiktirafan UEC merupakan janji yang sering diulangi oleh bekas timbalan menteri pendidikan (Wee Ka Siong) dan timbalan menteri pengajian tinggi (Hou Kok Chung), tetapi janji ini tidak pernah ditunaikan walaupun mereka telah lama berkhidmat dalam kerajaan terdahulu.
“Kenapa anda (MCA) tidak meyakinkan rakan parti, Umno bahawa UEC bukan isu perkauman?”
Terdahulu, Teo berkata pihak kementerian masih menjalankan kajian berhubung perkara itu.
Terdahulu senator Umno Khairul Azwan Harun mempersoalkan sama ada subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus apabila kerajaan mengiktiraf UEC, yang mana ia dijawab oleh Teo perkara tu masih dikaji.
Teo berkata, universiti awam kini mengiktiraf STPM; Program Matrikulasi Malaysia; diploma politeknik dan universiti awam; dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.
Umno membantah UEC, dengan naib pengerusinya Ismail Sabri Yaakob berkata sijil berkenaan tidak mengikut Dasar Pendidikan Negara dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan kumpulan etnik.
Turut hadir adalah Mufti Perak Harussani Zakaria, yang berkata UEC akan mencabar status Bahasa Malaysia dan mencetuskan perkauman, manakala MB Kelantan Ahmad Yakob mengisytiharkan negeri yang diterajui PAS tidak akan mengiktiraf UEC.
Sejak UEC diperkenalkan pada 1975, 645,000 pelajar UEC lulus. – 20 Ogos, 2018
Komen