PEMUDA MCA sepatutnya berfikir dulu sebelum buka mulut mengkritik keputusan kerajaan membatalkan Sistem Penguatkuasa Automatik (AES), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata apa yang sepatutnya Pemuda MCA kritik ialah perjanjian pelaksanaan AES yang tidak menguntungkan kerajaan, bukannya keputusan membatalkan perjanjian itu.
Beliau juga mengingatkan mereka menteri yang bertanggungjawab ketika AES mula dilaksanakan ialah bekas setiausaha agung MCA, Kong Cho Ha pada 2012, dan selepas itu diwarisi presiden MCA sendiri, Liow Tiong Lai.
“
“Kalau Liow Tiong Lai serius, kenapa biarkan saman ini tertunggak tanpa penguatkuasaan? Dia tak serius. Tak ada buat apa-apa. Tak pernah selesaikan isu ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Setiausaha Agung Pemuda MCA Leong Kim Soon semalam menuntut Loke minta maaf kerana membuat keputusan “bodoh” dan “salah” membatalkan saman AES.
Leong mendakwa keputusan Loke itu hanyalah untuk memuaskan hati orang ramai dan menggalakkan pemandu melanggar undang-undang.
“Saya nak beritahu pemimpin MCA guna otak sebelum kamu bercakap sebab apa yang kamu cakap hari ini akan beri kesan pada kamu,” kata Loke.
Pemimpin DAP yang menyifatkan kenyataan Leong itu tidak matang berkata penguatkuasaan trafik tidak terhad kepada kamera AES sahaja tetapi turut diawasi polis trafik.
Malah, kerajaan tidak mendapat hasil daripada kutipan saman tersebut kerana ia swastakan kepada dua syarikat, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.
Jelasnya, pembayaran tersebut terbahagi kepada dua peringkat yang mana Peringkat 1, RM16 bagi setiap saman sah yang dikeluarkan, terhad 10 juta saman setahun.
Peringkat 2 adalah 50% daripada bayaran saman dikutip atau dibayar (RM300) terhad kepada RM540 juta setahun.
Tambahnya, pihak beliau turut mempunyai perancangan lain untuk menguatkuasa trafik yang akan diumumkan pada 1 September.
“Saya amat marah perjanjian seperti ini ditandatangani. Saya boleh terima kritikan daripada sesiapa sebab tak faham latar belakang.
“Tapi apa yang saya tak boleh terima daripada MCA sebab mereka hipokrit,” katanya.
Kabinet pada Jumaat lalu membatalkan 3.1 juta saman AES berjumlah RM435 juta sejak ia dilaksanakan.
Loke berkata Kabinet juga bersetuju untuk membayar balik sejumlah RM555 juta dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) yang sebelum ini digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera termasuk aset pada 2015 dan pembayaran balik itu akan dibuat secara berperingkat.
Loke mendedahkan pembayaran berjumlah RM295 juta kepada ATES Sdn Bhd dan RM260 juta kepada Beta Tegap Sdn Bhd tersebut tidak melibatkan pengambilalihan aset yang besar tetapi hanya untuk 40 unit kamera AES.
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa agar diadakan siasatan menyeluruh berhubung perjanjian berat sebelah di antara kerajaan terdahulu dan dua syarikat konsesi AES. – 20 Ogos, 2018
Komen