Tiga lagi dicari atas ugutan bunuh peguam


Low Han Shaun

POLIS mencari tiga lagi suspek berhubung ugutan bunuh yang diterima peguam dan aktivis Siti Kasim, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Munusamy Ragasamy.

Polis sebelum ini menahan seorang lelaki pada malam Selasa dan dibebaskan hari ini atas jaminan polis.

“Kami kini sedang mencari tiga yang lain,” kata Munusamy tanpa sebarang butiran.

Polis juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti mereka yang membuat ancaman bunuh dalam kiriman Facebook. Ada di antara mereka mahu kepala Siti dipenggal sementara yang lain mengancam untuk menyimbah asid.

Siti yang merupakan pejuang bagi golongan minoriti dan lantang mengkritik ekstremisme agama memberitahu The Malaysian Insight, ini bukan kali pertama dia menerima ugutan bunuh.

“Tetapi kali ini berbeza kerana ada orang yang menghasut orang lain untuk membunuh saya.

“Lelaki ini (yang diikat dengan ikat jamin) meminta orang untuk membunuh saya dan seperti ianya dirancang. Itu yang membezakannya,” katanya.

Dia tidak tahu suspek itu dilepaskan hari ini tetapi berkata ini adalah peluang yang baik untuk polis membuktikan integriti mereka.

“Anda tahulah, mereka akan kata orang-orang ini ditangkap dan kemudian dibebaskan, dan selepas itu tidak ada apa yang berlaku.

“Saya harap pihak polis akan mengenakan tindakan kepadanya, jika tidak, akan timbul persoalan yang serius mengapa, kerana bukti itu jelas dan mudah.

“Ini bukan negara yang tiada undang-undang, jadi tindakan harus diambil terhadap orang-orang seperti ini,” tambah Siti.

Kes itu sedang disiasat kerana ugutan jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen