Kejayaan Invoke akan bantu Rafizi dalam pemilihan PKR


Nabihah Hamid

Rafizi Ramli bertanding jawatan timbalan presiden, mencabar Mohamed Azmin Ali yang menyandang jawatan nombor dua itu sejak 2010.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2018

KEJAYAAN mengendalikan Invoke Malaysia boleh mempengaruhi sokongan kepada Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR bermula pertengahan bulan depan, terutamanya undi daripada ahli PKR atas pagar serta golongan muda, kata pasukan kempen calon timbalan presiden itu.

Ketika menubuhkan Ivoke dua tahun lalu, matlamatnya ialah untuk membantu pembangkang ketika itu menang pilihan raya umum. Tetapi selepas Pakatan Harapan menang PRU14, dan sebahagiannya diakui kerana peranan yang dimainkan oleh Invoke, tempias kejayaan itu akan kena juga pada Rafizi yang bertanding jawatan nombor dua PKR itu, kata penyokongnya.

Rafizi bertanding jawatan timbalan presiden, mencabar Mohamed Azmin Ali yang menyandang jawatan nombor dua itu sejak 2010.

Calon-calon lain dalam pasukan Rafizi percaya bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga akan dapat sokongan sebagai tanda membalas pengorbanan beliau sanggup hilang kelayakan sebagai wakil rakyat semata-mata mahu membongkar penyelewengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), berkata Invoke memberikan pengaruh besar semasa pilihan raya umum ke-14 yang lalu sehingga meyakinkan penyokong Pakatan Harapan untuk masuk PKR selepas itu.

“Rafizi dilihat ada impak yang besar dalam kalangan luar parti sebab dia banyak bawa isu-isu menyentuh isu rakyat… 1MDB, NFC. Kemudian dia menggunakan Invoke untuk orang yang sebelum ini tak banyak terlibat dalam parti, mula terlibat dalam proses pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu kepada The Malaysian Insight.

Laporan media sebelum ini menyebut Rafizi membelanjakan lebih RM700,000 duit poketnya untuk menggerakkan Invoke, sebelum badan penyelidikan data raya itu mendapat sumbangan dana termasuk derma awam.

Invoke didirikan terpisah daripada PKR tetapi menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang membantu parti dan pemimpinnya memahami sentimen pengundi. Ia juga menjalankan latihan untuk petugas pilihan raya menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Dan selepas itu atas pilihan, mereka sertai parti dan itu adalah satu pengaruh dan kekuatan parti sendiri,” kata bakal bekas ketua pemuda PKR itu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini mengumumkan pertambahan lebih kurang 300,000 ahli baru PKR, yang mendaftar antara 9 Mei hingga 26 Jun lepas. PKR kini mempunyai lebih 800,000, yang semuanya layak mengundi pada pemilihan bermula 14 September ini.

Seorang lagi calon MPP dalam pasukan Rafizi, Wong Chen berkata semangat dan keberanian Rafizi melawan rasuah menjadi tarikan kepada pengundi untuk memilihnya sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Rafizi bermula dengan Invoke. Jadi kejayaan dalam NGO ini menunjukkan dia berkebolehan, tidak takut memperjuangkan anti rasuah. Ini semua mencerminkan kebolehannya. Itulah calling card (tanda pengenalan) dia.

“Mereka (pengundi) tanya dia buat apa… dia buat Invoke dan Invoke menang pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Kelana Jaya itu.

“Jika Azmin Ali, mereka akan kata dia menteri besarlah, dia menteri senior dan itu calling card dia. Untuk Rafizi calling card dia ialah kejayaan Invoke dan tindakan melawan rasuah sehingga kini.”

Pada 2011, Rafizi mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan bekas menteri kerajaan Barisan Nasional, Shahrizat Abdul Jalil. Rafizi dan seorang bekas kerani sebuah bank dihukum penjara kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan kerana mendedahkan akaun bank mereka yang terlibat.

Susulan hukuman itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu hilang kelayakan untuk jadi calon dalam pilihan raya umum yang lepas – tindakan yang disifatkan oleh penyokongnya bukti beliau layak untuk jadi orang nombor dua kepada Anwar Ibrahim.

“Pengorbanan Rafizi terlalu besar sebelum ini. Beliau ambil risiko masuk penjara kerana dedahkan NFC,” kata jurukempen pasukan Rafizi di Kelantan, Burhanuddin Roslan.

Rafizi juga dilihat membuka jalan kepada generasi muda untuk jadi pelapis dan melatih mereka dalam politik, kata calon exco sayap Pemuda PKR pusat, Fahmi Zainol.

“Saya nampak Rafizi membuka ruang baru dan melalui Invoke dia menyediakan jalan yang diminati golongan muda, melalui pendekatan yang seiring dengan globalisasi.

“Beliau juga buat latihan di peringkat negeri dan mahasiswa. Saya rasa yang sertai latihan beliau sebelum ini banyak yang masuk parti malah ada yang bertanding ketua cabang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Selepas Anwar disahkan menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR baru-baru ini, pertembungan bagi kerusi timbalan presiden kini jadi tumpuan, terutamanya juga selepas kempen pasukan Rafizi dilihat lantang menyerang Azmin.

Pasukan Rafizi yang menggunakan slogan “Reformasi 20 Tahun” mendakwa Azmin ditaja oleh Dr Mahathir dan Daim Zainuddin. Mereka juga menuduh ada anasir dalam PKR yang merancang menjatuhkan Anwar supaya tidak jadi perdana menteri Malaysia kelapan.

Dalam kempen yang dibuka di Johor hujung minggu lepas, mereka menghantar mesej bahawa Anwar hanya akan jadi perdana menteri sekiranya Rafizi diangkat sebagai timbalan presiden PKR, dan bukannya Azmin.

Pensyarah politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Pawi Awang Azman yakin Rafizi bakal memberi saingan sengit kepada Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Sejauh mana kem Azmin dapat mengawal sentimen lebih 800,000 ahli parti yang akan mengundi dan sejauh mana pula Rafizi dapat mengaitkan perjuangannya dengan sentimen pejuang awal reformasi” katanya. – 21 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen