TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau akan terus setia dan membantu Perdana Menteri Najib Razak.
“Saya akan pastikan istilah kesederhanaan diterjemah dalam sistem kita.Saya berjanji akan terus membantunya sebagai timbalan,” katanya di majlis perasmian Majlis Zikir Perdana 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur hari ini.
Ikrar setia beliau terhadap Najib itu dibuat setelah salah seorang daripada tetamu yang hadir dalam majlis itu tersalah memanggilnya sebagai perdana menteri.
“Terima kasih perdana menteri,” kata tetamu tersebut sebaik sahaja Zahid mengumumkan peruntukan AS$1 juta bagi membangunkan sebuah pusat Sufi bertaraf dunia di Malaysia daripada seorang penderma yang tidak ingin mendedahkan namanya.
Majlis Perdana Zikir hari ini disertai 130 mufti daripada seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Selain itu beliau turut mengutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin apabila kini menceroboh dan menyerang Masjid Al-Aqsa.
Tambah Zahid, pendirian Malaysia sebenarnya tidak pernah untuk menentang kaum Yahudi namun menolak perbuatan regim Zionis Israel yang selama berdekad lamanya bertindak kejam terhadap rakyat Palestin. – 28 Julai, 2017.
Komen