Akan berlaku perang saudara jika sekatan tidak dihentikan, kata tok batin


Sheridan Mahavera

Zainal Chali (kanan) dan Awin Pedik melahirkan kebimbangan mereka akan tercetus perang saudara antara masyarakat Orang Asli sekiranya sekatan diteruskan di Gua Musang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Ogos, 2018.

PERANG saudara Orang Asli akan berlaku sekiranya sekatan terhadap perladangan di hutan Ulu Kelantan tidak dihentikan di Gua Musang.

Ini merupakan kata-kata Zainal Chali, tok batin di Pos Tohoi, perkampungan yang terletak di tengah-tengah konflik antara aktivis dari suku Temiar dan peladang. 

Pendirian Zainal menggambarkan bagaimana perasaan masyarakat Temiar berkenaan sekatan yang dibuat oleh belia mereka sendiri. 

Amaran Zainal akan merumitkan lagi usaha kerajaan Persekutuan untuk menamatkan pertikaian itu kerana timbul persoalan siapa sebenarnya yang mewakili kawasan suku Temiar.

Zainal berkata, ia bertentangan dengan dakwaan aktivis, tidak semua suku Temiar di 17 perkampungan di kawasan terbabit menyokong sekatan berkenaan. 

Kebanyakan mereka yang bekerja di ladang itu memperoleh pendapatan purata RM800 sebulan, kata Zainal. 

“Majoriti orang kampung Pos Tohoi kerja dalam ladang-ladang. Mereka dapat pendapatan yang stabil setiap bulan. Anak-anak saya kerja di ladang dan mereka puas hati.

“Duit yang orang kampung dapat tampung kos sara hidup. Sampai mereka boleh beli motosikal, beli TV dan perkakas lain. Mereka gembira tak payah pergi ke bandar untuk cari kerja. Mereka boleh kerja dan duduk di kampung.”

Sekatan Kaleg terhadap perladangan memberi kesan kepada tuaian dan dengan melanjutkannya, ia memberi kesan kepada keupayaan syarikat ladang untuk membayar gaji pekerja Orang Asli.

“Orang jaringan buat sekatan tapi isteri-isteri mereka kerja dalam ladang. Jadi suami membangkang ladang yang beri keluarganya pendapatan,” katanya merujuk kepada aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

Ini sebabnya mengapa Zainal, bersama enam tok batin Orang Asli datang ke Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu bagi menyerahkan petisyen kepada kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa untuk mengalihkan sekatan itu. 

“Kita mahu pihak berkuasa ambil tindakan terhadap sekatan. Kalau tidak Orang Asli akan lawan Orang Asli. Akan ada perang saudara.

“Kerana sekarang ada dua kumpulan. Orang Asli yang setuju (dengan sekatan) dan tidak setuju. Sudah berlaku keretakan di dalam masyarakat kita. Pertempuran antara Orang Asli dengan Orang Asli boleh terjadi. Ini janji saya.

Dua kem Temiar

Sekatan telah dibuat, dan dikuasai aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK). Dalam memorandum yang mereka hantar kepada kerajaan Persekutuan 10 Ogos lalu, kumpulan itu mendakwa mewakili suara 17 perkampungan.

Sekatan itu menurut JKOAK adalah perlu bagi melindungi hutan yang dakwa mereka sebagai tanah adat daripada diceroboh syarikat perladangan.

Mereka mendakwa pembalakan yang tidak terkawal sejak berdekad lalu dan penerokaan tanah untuk perladangan telah memusnahkan hutan yag menjadi tempat bergantung mereka untuk makanan, air, bahan binaan rumah, ubat-ubatan yang sebahagian daripada kepercayaan dan budaya mereka.

Masyarakat Orang Asli melepasi salah satu sekatan yang dibuat di Kaleeg bagi menghalang peladang dan pembalak menceroboh kawasan yang didakwa sebahagian daripada tanah adat mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2018

Kini terdapat tiga sekatan, Cawas, Kaleg dan Kegeeg di Ulu Kelantan yang menghalang akses kepada pembalak dan peladang.

Sekatan Kaleg menyaksikan ketegangan antara pekerja ladang getah, nenas dan ladang durian musang king.

Bagi pihak mereka, peladang yang beroperasi berhampiran Pos Tohoi, dan mereka yang terkesan dengan sekatan Kaleh mendakwa mereka mendapat kelulusan kerajaan negeri dan surat sokongan daripada masyarakat di Pos Tohoi.

Zainal yang kini ketua kampung di Pos Tohoi, mengesahkan surat sokongan yang ditandatangai oleh pendahulunya, Rahmat Abdullah.

Menurut seorang lagi tok batin, Awin Pedik, Rahmat mahu menyelamatkan sumber pendapatan kepada penduduk kampungnya. Ia merupakan idea yang disokong oleh Zainal ketika dibincangkan lapan tahun lalu.

Selepas berbincang selama 12 jam, lima tok batin di sekitar kawasan Pos Tohoi menandatangani surat sokongan kepada syarikat berkenaan dan pekerjaan di ladang mereka sebagai balasan.

Perladangan di hutan

Aktivis JKOAK mahu ladang berkenaan dihapuskan dan kerajaan negeri mengazet seksyen di hutan untuk digunakan oleh masyarakat berkenaan sebagai hutan rayau.

Namun Zainal dan Awin tidak bersetuju dengan konsep itu.

“Orang Asli tak boleh bergantung pada hutan rayau selama-lamanya kerana hasil yang diberikan tidak cukup untuk semua. Ladang memberi lebih hasil daripada hutan rayau,” kata Zainal.

Perladangan turut mendidik penduduk di kampungnya tentang amalan pertanian yang lebih baik yang boleh digunakan untuk meningkatkan hasil pertanian di ladang mereka sendiri, katanya.

Awin berkata, beliau telah bercakap dengan aktivis JKOAK pada April untuk memujuk mereka menamatkan sekatan.

“Saya sudah cuba pujuk aktivis agar tidak mengambil tindakan sendiri, namun mereka tidak endahkan.”

Ditanya mengapa beliau dan penduduk kampung Pos Tohoi yang lain cuba menamatkan sekatan itu, Zainal berkata:

“Orang kampung tak suka sekatan tapi mereka bukan orang yang aggresif. Kita tak mahu gaduh dengan jaringan (JKOAK) kerana mereka ni pun anak-anak kita juga. Jadi kita harap pihak berkuasa ambil tindakan.” – 20 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen