PERSEKITARAN agama yang ketat seperti di sekolah tahfiz bukan jaminan anak-anak dilindungi daripada ancaman dadah, seperti pendedahan seorang remaja Haziq yang terjebak dadah sejak berumur 10 tahun kerana salah memilih kawan.
Pendedahan remaja bekas penagih dadah kepada The Malaysian Insight itu menepati dapatan terkini Kementerian Kesihatan, yang malah menunjukkan remaja di Malaysia mula menghisap dadah seawal usia tujuh tahun.
Kajian terbaru Kementerian Kesihatan itu juga mendapati seorang daripada setiap 25 pelajar sekolah menengah terlibat dengan dadah.
Daripada jumlah itu, 17% mula menggunakan dadah semasa berumur tujuh tahun manakala 72% daripadanya sebelum berumur 14 tahun.
Haziq, 16, mengaku beliau mula berkenalan dengan dadah semasa menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Kajang, Selangor, enam tahun lalu.
Beliau masuk sekolah tahfiz itu ketika umurnya 8 tahun. Semasa umurnya 10 tahun, beliau dikelompokkan untuk menghafal Al-Quran bersama pelajar lebih senior yang rata-rata berumur 16 tahun.
“Saya tersedar kawan-kawan saya ini sering tak tidur malam dan mereka ‘kantoi’ menghisap dadah di hadapan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ibu saya sentiasa memberi duit belanja yang lebih kepada saya. Daripada situ, kawan-kawan saya meminta duit itu dan turut memberikan kepada saya untuk mencuba dadah jenis ice.”
Remaja itu juga mendakwa beliau ketika itu naif dan tidak tahu mereka terlibat dengan dadah. Beliau juga mendakwa tidak tahu mengambil dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Apa yang beliau tahu, “benda” yang diambilnya pada masa itu menjadikan mereka lebih cergas dan boleh berjaga malam sehingga lebih mudah untuk menghafal al-Quran.
“Kami didenda dan dihukum kalau tidak dapat hafal lima muka surat sehari,” katanya.
Selepas beberapa kali menghisap dadah tiruan itu, kegiatan Haziq dihidu oleh bapanya. Beliau nekad berhenti tetapi tidak lama. Tidak sampai setahun, beliau kembali menghisap syabu sehinggalah jadi lebih agresif setelah keluar sekolah tahfiz.
“Itu kali pertama saya tengok dunia. Hidup saya pun masa itu tertekan sebab ayah masuk penjara, kena khianat dengan kawan dia. Ibu pula biar saya bebas. Saya mula hisap heroin,” kata Haziq.
Umurnya ketika itu 13 tahun.
Dua tahun kemudian, beliau insaf apabila ibunya dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana serangan jantung. Beliau sukarela mahu berubah dan masuk pusat rawatan pemulihan dadah lebih kurang enam bulan lepas.
Kajian Kesihatan Remaja 2017 yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan ada peningkatan dua setengah kali ganda jumlah pelajar antara Tingkatan 1 dan Tingkatan 5 yang menggunakan dadah, dalam tempoh lima tahun berbanding 2012.
Mereka yang menggunakan dadah jenis syabu meningkat kepada 2.4% berbanding 1% pada 2012. Dalam tempoh lima tahun yang sama, penggunaan dadah jenis marijuana dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 juga meningkat tiga kali ganda.
Kajian lima tahun sekali ini dibuat antara 26 Mac hingga 3 Mei 2017, melibatkan lebih 30,000 pelajar dari 212 buah sekolah di seluruh negara.
Wawancara The Malaysian Insight dengan dua lagi remaja di pusat pemulihan dadah menemukan cerita yang hampir sama bagaimana mereka boleh terjebak ke dunia dadah.
Aiman, 18, datang dari keluarga yang berantakan – ayah dan ibunya bercerai, dan masing-masing berkahwin lain. Beliau bagaimanapun tidak mahu menyalahkan ayah dan ibunya kerana sedar keadaannya hari ini adalah jalan yang dipilihnya sendiri.
“Saya silap pilih kawan,” katanya, yang mengaku bercampur bebas dengan mereka yang lebih dewasa.
Aiman mengaku mula menghisap heroin semasa berumur 12 tahun.
“Untuk dapatkan duit membeli dadah, saya sanggup bekerja separuh masa. Kadang-kadang selepas waktu bersekolah atau hari minggu, saya bekerjamemasang pelamin atau katering majlis perkahwinan,” tambahnya.
Kalau tiada kerja dan sudah tiada duit, beliau malah sampai mencuri di pasar raya dan menjual hasil curiannya.
Asyraf, 17, pula mula terpengaruh dengan dadah sejak setahun lalu ketika bercampur dengan kawan-kawan di kolej kemahiran tempat beliau belajar memasak. Kawan-kawannya itu sering ke kelab malam.
Beliau sebelum itu bermula dengan menghisap gam semasa berumur 13 tahun, sebelum mengambil syabu semasa berumur 15 tahun.
Haziq, Aiman dan Asyraf dijangka dibebaskan dari pusat pemulihan di bawah kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak lama lagi. – 20 Ogos, 2018.

Komen