KERAJAAN tidak akan campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pilihan Raya namun berharap ia akan mengambil langkah bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin hari ini.
Hanipa berkata, ini berikutan kenyataan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 semalam bahawa kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah melakukan kesalahan pilihan raya pada pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini.
Bersih 2.0 menggesa SPR untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap aduan bagi mempertahankan pilihan raya bersih, bebas dan adil. Tambahnya pelaku perlu dibawa ke muka pengadilan bagi mengelakkan penipuan dan rasuah pilihan raya.
Hanipa juga berkata SPR perlu mengambil tindakan tanpa rasa takut dan tidak berpihak. Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri komited dalam memastikan SPR menjalankan setiap pilihan raya dengan adil.
“Justeru, saya harap sebarang kritikan yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk Bersih, akan diambil peduli oleh SPR tanpa sebarang rasa bimbang dan berpihak.
“Saya ingin nyatakan kementerian tidak akan campur tangan dalam tugas, peranan dan tanggungjawab SPR,” katanya dalam satu kenyataan.
Bersih 2.0 dalam laporannya berhubung pilihan raya kecil Sungai Kandis berkata, pemenangnya Zawawi Ahmad Mughni dari PH dan calon BN Lokman Noor Adam kedua duanya melanggar peraturan pilihan raya ketika tempoh berkempen dari 21 Julai hingga 4 Ogos.
Pengarah eksekutuf Bersih 2.0 Yap Swee Seng berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuk penyalahgunaan aset dan program kerajaan, dan memberi hadiah untuk meraih undi.
Ketika kempen pilihan raya kecil itu, Bersih 2.0 berkata kempen Zawawi melibatkan aktiviti seperti pemberian minyak enjin motosikal dan penyediaan pemeriksaan perubatan secara percuma kepada penduduk.
Kumpulan pembaharuan pilihan raya itu juga berkata, Zawawi menyalahgunakan aset dan program kerajaan sekurang-kurangnya empat kes, berkempen untuk mendapatkan sokongan di sekolah awam serta di tiga program kerajaan manakala beberapa menteeri dilihat menggunakan kereta rasmi untuk ke pusat penamaan calon.
Sementara itu, Lokman didapati melakukan kesalahan pilihan raya dengan memberi makanan dan minuman kepada pengundi di dua lokasi.
Bersih 2.0 juga berkata sentimen kaum dan agama turut dimainkan bag meraih sokongan dalam kempen Lokman. – 19 Ogos, 2018
Komen