KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina taman di atas tapak bekas Highland Towers selepas tragedi tanah runtuh hampir 25 tahun lalu menjadikan kawasan itu kini terbiar.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pembangunan taman rekreasi lebih sesuai memandangkan struktur kawasan itu tidak sesuai didirikan bangunan atau perumahan meskipun lokasinya strategik.
“Buat masa ini kita dalam fasa untuk memajukan kawasan tersebut.
“Saya juga faham bahawa kawasan itu tidak bagus. Struktur pelannya tidak bagus untuk mendirikan bangunan atau rumah. Kita akan tukarkannya kepada taman.
“Ia adalah bagus kerana lokasinya agak strategik di mana penduduk Ampang dan penduduk di sekitarnya boleh menggunakan taman itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Girl2Leader di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 11 Disember 1993, sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.
Bulan lalu, kementerian itu dilapor merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan berpendapatan rendah di tapak kondominium yang runtuh 25 tahun lepas itu.
Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang berkata, kelulusan untuk menggantikan tapak tersebut dengan taman masih dalam perancangan.
“Pihak jawatankuasa telah bermesyuarat sebanyak lima kali. Jadi kami sekarang telah mengenalpasti dengan pemilik sebenar tanah tersebut,” katanya.
KPKT sebelum ini juga dilaporkan akan mengkaji dasar sedia ada berhubung tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan kerajaan mengambil-alih projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara.
Komen